MATU: Daerah Matu mempunyai potensi dibangunkan menjadi hub pengeluaran produk hasil laut untuk pasaran lebih terbuka menerusi Program Prospek Matu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak berhasrat membantu proses pengeluaran produk hasil laut bagi memastikan ia mematuhi piawaian antarabangsa.

“Kita akan fokus kepada teknik penghasilan, tahap kebersihan dan cara pembungkusan. Misalnya, produk sesar unjur dan obor-obor di daerah ini merupakan industri desa yang perlu dikembangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan industri tempatan di sini, kelmarin.

Antara produk yang mempunyai prospek untuk diketengahkan ialah ikan masin, sesar unjur, obor-obor dan barangan kraftangan.

Kata Uggah, penghasilan hasil itu selari dengan usaha Kerajaan Sarawak yang mahu menjadi negeri pengeluar makanan.

“Ia mesti dimulai dengan satu rangka aktiviti sosioekonomi supaya pertumbuhan industri desa di sini akan berkembang,” katanya.

Matu terletak di kawasan tengah Sarawak dan untuk sampai ke sini, ia memakan masa dua jam perjalanan darat dari Sibu.

Pengunjung juga boleh ke sini melalui Mukah, Oya atau Igan yang memakan masa perjalanan darat selama dua setengah jam.

Hadir sama Adun Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.