KUCHING: Kempen Pelancongan Sia Sitok Sarawak (di sana-sini Sarawak) Pakej Intra Negeri yang dilancarkan semalam akan memberi manfaat kepada sektor ekonomi dan pelancongan yang terjejas akibat Covid-19 di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementerian yakin tentang perkara itu kerana negara belum membuka sempadan ketika ini dan tiada pelancongan antarabangsa dibenarkan.

“Oleh itu, industri pelancongan tempatan harus memulakan sesuatu untuk pulih, dengan keadaan pandemik yang terkawal di Malaysia kini, kita bersedia melaksanakan apa yang diperlukan untuk memulakan semula pelancongan di negeri ini dan memberi fokus kepada pelancongan domestik.

“Saya gembira mengumumkan pelancaran Kempen Sia Sitok Sarawak yang telah dirancang rapi oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) termasuk pelbagai pakej dengan potongan harga sehingga 50 peratus untuk membantu menghidupkan dan meningkatkan perjalanan tempatan,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika berucap pada program pelancaran Sia Sitok Sarawak Pakej Intra Negeri di Hotel Imperial, di sini semalam.

FOTO: RAMIDI SUBARI

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga memberikan subsidi kepada pakej yang ditawarkan hanya untuk rakyat Sarawak sekali gus menyokong industri pelancongan tempatan.

“Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan Jun lalu, kami mula melihat peningkatan jumlah pelancong datang ke Sarawak kerana semakin banyak rakyat Malaysia memilih untuk bercuti dalam negara.

“Disebabkan perjalanan antara zon telah meningkat, saya percaya ini masa yang paling sesuai untuk anda dan keluarga merancang perjalanan singkat di sekitar Sarawak dengan melawat tempat-tempat yang tidak pernah anda terokai sebelum ini dan sebagainya,” jelas beliau.

Menurutnya, kempen tersebut menawarkan 30 pakej, tarikan, lawatan dan aktiviti menarik di Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Mulu yang merangkumi lawatan sehari dan beberapa hari, serta perjalanan penuh dengan penginapan dan makanan.

“Sebagai permulaan, kempen ini pertama kali akan dibuka kepada pekerja barisan hadapan untuk menghargai kerja keras mereka yang bertarung nyawa untuk membantu membendung penularan Covid-19.

“Selepas itu, tawaran ini akan diberikan kepada semua rakyat Sarawak dan bukan rakyat Sarawak yang tinggal di negeri ini tetapi dengan permit kerja untuk menikmati produk pelancongan yang menarik dengan harga berpatutan.

“Memandangkan kempen Sia Sitok Sarawak bermula pada 15 Julai hingga 15 Oktober ini dan tempoh perjalanan bermula dari sekarang hingga 30 November 2020.

Hanya satu bulan yang tinggal, lebih baik saya melanjutkannya sehingga Disember 2020,” katanya. Dalam hal berkaitan, beliau mendedahkan pihak STB juga akan memperkenalkan Pakej Intra Negeri Sarawak pada pertengahan September, merangkumi pakej untuk mendorong perjalanan domestik dari Semenanjung.

“Bagaimanapun, pakej yang ditawarkan itu nanti tidak akan sama seperti Sia Sitok Sarawak kerana kita memberikan keutamaan kepada rakyat di negeri ini untuk mendapatkan diskaun 50 peratus,” tegasnya.

Beliau juga memberikan jaminan bahawa tempat-tempat tersebut selamat dikunjungi kerana terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dijalankan di tempat-tempat dan destinasi menarik.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengunjungi pautan https://sarawak.travel/exploreall dan untuk tempahan mereka boleh pergi ke pautan https:// siasitoksarawak.rezgo.com/.