SARIKEI: Peruntukan berterusan bagi melaksanakan pelbagai projek rakyat membuktikan komitmen Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii dalam usaha membela nasib rakyat di kawasannya.

Ia termasuk penyaluran peruntukan untuk sekolah, rumah ibadat antaranya tokong dan gereja di kawasan berkenaan.

Dalam tempoh empat tahun, wakil rakyat itu menyalurkan peruntukan besar untuk sekolah rendah dan menengah.

Usaha itu bertujuan memastikan golongan muda di Repok berpeluang menimba ilmu dalam suasana yang lebih selamat dan selesa.

“Saya memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan kerana sedar itulah pelaburan terbaik untuk masa depan.

Malah, saya juga percaya ilmu yang sempurna mampu menyediakan kehidupan lebih terjamin khususnya kepada golongan muda,” kata Huang.

Beliau memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi menaik taraf kemudahan Tokong Lu Ping Kim dan RM35,000 untuk Tokong San Nguong Sia, Jakar di bawah projek RTP 2019.

Semalam, Huang meneruskan rutin turun padang meninjau pelaksanan projek RTP di kawasannya termasuk Tokong Che San Fu di Jalan Kwong Ming-Minah.

“Secara keseluruhan, usaha baik pulih tokong ini menggunakan peruntukan RTP 2019 selesai sepenuhnya.

“Saya berpuas hati dengan kerjasama semua pihak malah pelaksanaannya juga berjalan lancar,” katanya.