KUCHING: Kerajaan Sarawak menambah peruntukan RM5 juta untuk membantu usahawan muda dalam Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (Ustev) serta Program Graduan Ke arah Keusahawanan (Gerak).

Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, sebelum ini sejumlah RM4 juta diperuntukkan untuk kedua-dua program tersebut.

“Oleh kerana peruntukan hampir habis dan kedua-duanya ialah program yang terkenal, maka Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan bantuan tambahan RM5 juta bagi kedua-dua program ini.

“Ini bermakna setiap program akan mendapat manfaat RM2.5 juta daripada peruntukan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran untuk Peserta Program Ustev, Gerak dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana Sarawak (SPIKS).

Bagaimanapun katanya, perbelanjaan untuk kedua-dua program itu agak fleksibel, maka Mintred memutuskan mana-mana program yang lebih banyak mendapat permohonan akan mendapat lebih peruntukan.

“Maksudnya, kita boleh kongsi RM5 juta ini kepada kedua-dua program tersebut dan bantu usahawan yang memerlukan.

“Unit Perancang Ekonomi (EPU) bersetuju dengan peruntukan tambahan ini.

Kita boleh membelanjakannya untuk kegunaan usahawan,” jelasnya.

Naroden turut menyarankan agar lebih ramai usahawan mikro memohon untuk kedua-dua program tersebut.

“Sekarang sudah ada peruntukan tambahan dan saya menggesa usahawan mikro memohon untuk kedua-dua program ini.

“Usahawan boleh memohon secara dalam talian di laman sesawang Mintred atau SEDC,” ujarnya.

Beliau menambah, usahawan yang baharu memulakan perniagaan mereka juga boleh memohon untuk program ini.

“Bagi mereka yang baharu memulakan perniagaan, kami akan mempertimbangkan permohonan sekiranya mereka mempunyai pengalaman bersama-sama syarikat atau agensi sebelum ini.

“Walaupun usahawan itu baru mempunyai syarikat sendiri, tetapi disebabkan oleh pengalaman mereka dan bidang yang diceburi mempunyai potensi, kami akan mempertimbangkan permohonan mereka,” tambahnya lagi.