KUCHING: Hi Teck Sin tidak dapat menahan sebak ketika dikunjungi Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di kediamannya di Bandar Baru Samariang semalam.

Berusia 56 tahun, Teck Sin yang menghidap strok sejak enam tahun lalu menitiskan air mata ketika menerima kunjungan Dr Abdul Rahman bersama-sama rombongan Ziarah Ukas, Skuad Sayang Pantai Damai dan Pusat Khidmat Adun Pantai Damai.

Isteri Teck Sin, Sadinang Edward Radin berkata, suaminya mula menghidap strok sejak enam tahun lepas dan sukar untuk menjalankan urusan seharian.

“Selepas menghidap strok, suami saya tidak dapat menjalankan urusan seharian termasuk bekerja,” katanya.

Sadinang turut berterima kasih kepada Dr Abdul Rahman dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) yang menghulurkan sumbangan kepada suaminya.

“Sedikit sebanyak bantuan ini dapat meringankan bebanan kami sekeluarga,” ujarnya.

Bagi Zon Santubong, seramai 10 pesakit terlantar dikunjungi dan menerima sumbangan yang merangkumi barangan keperluan asas, kerusi roda dan tongkat.

Sebelum ini, ziarah tersebut mengunjungi penerima di Zon Seberang Hilir dan seterusnya Zon Telaga Air. Turut hadir Pegawai Ukas Dayang Nora Awang Sabudin.