KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) komited untuk memutuskan rantaian Covid-19 di kawasan mereka.

Pengerusi MPKS Datuk Peter Minos berkata, ekoran itu majlis perbandaran telah menganjurkan satu program iaitu Kongsi Rezeki Komuniti Niaga Yang Lestari pasca-Covid-19.

“Program ini dianjurkan untuk memberi peringatan kepada semua penduduk di sini (Kota Samarahan) supaya patuh kepada arahan kerajaan seperti prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kami juga berterima kasih kerana wakil ketua masyarakat dan masyarakat di kawasan ini serta peniaga di Bandar Riyal dan Farley Kota Samarahan bersama-sama hadir dalam program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas pelancaran Majlis Kongsi Rezeki Komuniti Niaga yang Lestari pasca-Covid-19, di Medan Selera Farley di sini semalam.

Tambahnya, beliau juga menghargai sokongan daripada Residen Samarahan dan pihak lain yang terlibat.

“Ia termasuk pihak polis di sini yang telah berjaya menangkap mereka yang melanggar SOP ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa, semua pihak perlu menjalankan kerjasama supaya kita dapat menghapuskan Covid-19 ini.

“Kita juga berharap agar selepas 31 Ogos ini tiada lagi Covid-19 di Sarawak, kita mahukan status kawasan hijau.

“Bermula dengan status kawasan merah, kuning dan kini kembali hijau. Kita bersyukur kerana ini adalah proses supaya terus mengingatkan orang ramai supaya tidak cuai.

“Program ini membuktikan kerajaan mengambil langkah yang proaktif dalam mengadakan pelbagai program seperti kepolisian komuniti dan banyak lagi,” tegasnya.

FOTO: GHAZALI BUJANG