KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak melancarkan tiga buku khusus untuk kanak-kanak disleksia sempena Festival Penulis Sarawak pada 27 hingga 29 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Rashidah Bolhassan berkata, buku tersebut diterbitkan oleh Pustaka Negeri Sarawak dan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kata Rashidah, Pustaka berunding dengan pakar disleksia Unimas dan melihat kepada standard penerbitan antarabangsa untuk disleksia.

Jelasnya, buku itu juga direka khas untuk kanak-kanak disleksia yang mempunyai masalah membaca. “Kita mengambil kira secara teliti penggunaan fon, penggunaan warna dan warna untuk latar belakang. Semua itu kami ambil kira termasuk ciri-cirinya.

“Kita masukkan elemen Sarawak dalam buku ini. Ia melibatkan hutan, flora dan fauna serta kebudayaan,” ujarnya pada sidang media sempena SAF 2020 di Pustaka Negeri Sarawak kelmarin.

Tambahnya, buku disleksia tersebut turut menerapkan pemuliharaan budaya, warisan dan alam sekitar dalam pembacaan kanak-kanak.

Rashidah memberitahu, buku tersebut akan didermakan kepada persatuan dan individu yang berhadapan dengan kanak-kanak disleksia.