MATU: Sebanyak RM622,000 diperuntukkan kepada 311 nelayan yang layak di Jemoreng di sini untuk membeli alat menangkap ikan baharu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia merupakan sejumlah peruntukan daripada RM20 juta yang diberi oleh Kerajaan Sarawak kepada golongan berkenaan di seluruh negeri ini.

Menurutnya, setiap nelayan akan menerima RM2,000 yang dibayar awal September depan.

“Selain itu, seramai 171 nelayan pesisir pantai dari Jemoreng mendapat manfaat daripada bantuan terbabit terutamanya ketika musim tengkujuh.

“Sejumlah RM153,900 telah dibayar kepada nelayan yang layak mulai Januari hingga Mac tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian melancarkan Program Jangkauan Komuniti Lanjutan Jabatan Pertanian semalam.

Uggah berkata, bayaran seterusnya sebanyak RM102,600 akan dibayar sekali lagi pada musim tengkujuh dari November hingga Disember,” tambahnya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memberitahu, kementeriannya sedang merancang aktiviti menjana pendapatan sampingan untuk nelayan semasa musim tengkujuh.

“Kami merancang agar mereka menerokai sistem pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik.

“Kami akan mengadakan pameran untuk memperkenal dan mempromosi pertanian moden itu di Matu,” katanya.

Ujarnya, kerajaan mahu membantu nelayan dan petani di negeri ini supaya memperoleh pendapatan tetap atau meningkatkan pendapatan mereka.

Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya; Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah Edwin Abit serta Pengarah Jabatan Pertanian Dr. Alvin Chai hadir dalam majlis terbabit.