KUCHING: Tiga lelaki dan seorang wanita dicekup dalam satu serbuan oleh Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bau di Kampung Apar Singai hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, empat suspek dalam lingkungan usia 27 hingga 48 tahun ditahan dalam satu operasi serbuan oleh Bahagian Jabatan Siasatan Narkotik, IPD Bau pada jam 6.30 kerana disyaki dalam penyalahgunaan dadah.

Kata Poge, dalam serbuan itu turut menemui dadah jenis syabu seberat 5.29 gram bernilai sekitar RM550.

“Hasil pemeriksaan telah merampas sebuah beg daripada salah seorang orang yang disyaki.

“Pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut terdapat lima peket plastik kecil lutsinar berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambah Poge, ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek dikesan positif dadah manakala dua suspek bebas daripada dadah.

Beliau berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan juga dikenakan hukuman tiga hingga sembilan sebatan.

“Dua orang suspek disiasat di Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit dengan kesalahan boleh didenda sehingga RM5000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.