KUCHING: Penglibatan sebilangan penduduk kampung sebagai tonto (mata-mata) menjadi antara punca kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Kalimantan, Indonesia melalui sempadan terus berlaku.

Golongan ini adalah diupah oleh ‘tekong’ yang juga merupakan orang tempatan untuk menjadi mata-mata bagi memudahkan urusan membawa masuk warganegara jiran ke negeri ini secara haram untuk bekerja.

SAC Mancha Ata berkata kegiatan sindiket yang didalangi oleh orang tempatan ini telah menjadi faktor utama yang mendorong kemasukan Pati terutama menerusi sempadan di sekitar Serian, Lundu dan Lubok Antu.

“Misalnya bagi kes penyeludupan Pati di Serian, biasanya ‘tekong’ atau tauke adalah dari Kuching manakala orang kampung yang tinggal berhampiran sempadan menjadi tonto.

“Kalau tonto dan tekong tidak ada, Pati tidak akan masuk kerana mereka tidak mempunyai orang tengah,” katanya semasa temu-bual bersama Suara Sarawak di ibu pejabat PGA Sarawak di sini, kelmarin.

Justeru, beliau menyeru penduduk kampung terutama yang tinggal berhampiran sempadan agar bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan kemasukan Pati kepada agensi-agensi penguatkuasa seperti PGA, tentera dan sebagainya.

Pada masa sama, katanya penduduk kampung juga harus memainkan peranan menjaga kawasan masing-masing agar tidak menjadi laluan kemasukan Pati.

“Kerjasama orang kampung paling penting kerana mereka tahu dan tinggal berhampiran sempadan,” katanya.

Selain itu, Mancha berkata kemasukan secara haram warga Kalimantan ke negeri ini untuk mendapatkan bekalan keperluan harian juga didorong oleh penduduk setempat.

Katanya ia kerana terdapat segelintir penduduk kampung yang menjadi pembekal barangan seperti tong gas memasak serta bahan makanan lain kepada mereka.

“Kami bukan hendak menyalahkan orang kampung tetapi ada segelintir yang melakukan kegiatan ini menyebabkan penduduk dari wilayah Kalimantan keluar masuk melalui sempadan untuk mendapatkan bekalan.

“Kalau tidak ada bekalan, mereka tidak akan masuk,” katanya sambil mengingatkan ketua kampung agar memantau kegiatan seperti itu di kampung masing-masing.