KUCHING: Sembilan sekolah daif di Parlimen Betong dilulus untuk dinaik taraf di bawah pinjaman kontra RM1 bilion Kerajaan Sarawak.

Menteri Pendidikan II Senator Datuk Mah Hang Soon berkata, sekolah terbabit ialah SK Mangut, SK Spaoh, SK Bungin, SMK Spaoh, SK Medang, SK Tui, SK Suri, SK Nanga Gayau di bawah fasa pertama manakala SK Paku Central dinaik taraf pada fasa kedua.

“Pelaksanaan projek baik pulih bangunan sekolah daif di Sarawak yang dibiayai melalui peruntukan RM1 billion iaitu pembayaran balik pinjaman mengikut mekanisme khusus.

“Mekanisme dipersetujui secara bersama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Sarawak sehingga Julai 2020 itu berjumlah RM700 juta.

“Pelaksanaan projek baik pulih bangunan daif ini merangkumi pelbagai skop seperti pembinaan bilik darjah, blok pentadbiran, asrama, rumah guru, kuarters, dewan makan, pusat sumber, bilik sains, tandas dan kemudahan yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat yang meminta Menteri Pendidikan memberitahu status pelaksanaan projek pemulihan, menaik taraf atau bina semula sekolah-sekolah daif di Sarawak seperti dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini, setelah Kerajaan Sarawak membayar sejumlah RM700 juta sebagai pembayaran pinjaman kontra RM1 billion. Beliau bertanya demikian pada sidang parlimen di Kuala Lumpur kelmarin.

Tambah Mah Soon, secara keseluruhan, projek baik pulih bangunan daif di sekolah dengan dana RM1 billion dilaksanakan melalui tiga fasa.

“Fasa pertama melibatkan 41 sekolah dan kos projek berjumlah RM350 juta. Fasa kedua, 52 sekolah dengan kos projek berjumlah RM350 juta.

Senarai dan skop projek untuk fasa ketiga sedang dimuktamadkan oleh KPM bersama-sama Kerajaan Sarawak melibatkan kos sebanyak RM300 juta.

“Sehingga 17 Ogos lalu, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan 93 projek bagi fasa satu dan fasa dua dengan kos RM700 juta.

“Bagi status pelaksanaan projek fasa satu, sebanyak 21 projek berada pada fasa pembinaan dan 20 projek berada pada fasa prabina,” jelasnya.

Menurutnya lagi, perincian status pelaksanaan fasa prabina meliputi empat projek dalam proses penilaian tender, lima projek dalam proses pengeluaran surat setuju terima, lima projek dalam proses memuktamadkan lantikan kontraktor dan enam projek dijangka ditender pada akhir September depan.

“Bagi status pelaksanaan projek fasa dua pula, semua projek berada pada fasa prabina. “JKR Sarawak sedang melaksanakan kerja ukur dan penyediaan dokumen tender. Projek ini dijangka ditender secara berperingkat-peringkat mulai 22 Ogos ini,” ujarnya.