KUCHING: Tiada pelajar yang kelihatan menaiki perkhidmatan bas sekolah percuma setelah loceng terakhir berbunyi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman di Petra Jaya pada Isnin lalu.

Ia bukan kerana pelajar bersangka buruk terhadap perkhidmatan itu, tetapi kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat, sekali gus menjadi faktor kurangnya jumlah pelajar menaiki perkhidmatan bas sekolah percuma itu.

Salah satu sebabnya ialah program itu masih baharu dan pelajar memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan perkhidmatan bas sekolah percuma itu.

Salah satu kawasan perhentian bas sekolah percuma untuk pelajar sekolah berkenaan ialah di Kampung Gita Laut.

Perkhidmatan bas percuma ini akan melakukan beberapa perjalanan untuk memastikan pelajar dapat pergi dan balik dari sekolah dengan selamat.

Pelajar boleh menaiki bas sekolah atau van yang disediakan di sekolah masing-masing.

Salah seorang bapa pelajar, Muhd Buckley Abdullah, 51, berkata, perkhidmatan bas sekolah percuma merupakan idea yang bagus untuk membantu pelajar tetapi ia mungkin mengambi masa untuk pelajar menyedari tentang bas sekolah percuma.

“Inisiatif ini baik untuk membantu pelajar yang memerlukannya. Lama-kelamaan pelajar akan belajar menggunakannya. Buat masa ini, penerimaan perkhidmatan itu mungkin sedikit lambat,” katanya.

Seorang ibu, Normala Salleh, 49, turut menjelaskan ia merupakan inisiatif yang sangat baik, namun dia masih bimbang akan keselamatan pelajar.

“Ini merupakan idea yang bagus oleh Kerajaan Sarawak untuk membantu pelajar yang memerlukannya. “Sebagai ibu bapa, saya turut risau akan keselamatan anak-anak saya.

“Oleh itu, saya berharap ibu bapa dan pelajar mendapatkan maklumat yang jelas tentang mana-mana perkhidmatan dan pengangkutan yang akan mewakili sekolah untuk anak-anak,” jelasnya.

Perkhidmatan bas sekolah percuma ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membantu mengurangkan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah, malah kos operasi bas tersebut turut ditanggung oleh kerajaan.

Program bas percuma dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 15 Julai lalu. Peringkat awal perkhidmatan bermula di Kuching. Jika perkhidmatannya efisien, ia akan dilaksanakan di bandar lain seperti Sibu dan Miri.