KUCHING: Penerima Ijazah Aegrotat UCTS, Phu Joon Meng, 23, bersyukur dan berterima kasih kepada UCTS kerana memberi peluang kepadanya untuk menerima sendiri Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan (Kepujian) walaupun baru sahaja menjalani pembedahan ekoran barah otak tahap empat.

Berkongsi kisah pertama kali dikesan menghidap barah otak, Joon Meng berkata, sepanjang belajar di UCTS Sibu dan setiap kali selepas menamatkan latihan taekwondo, dia akan berasa pening dan lemah.

Dia hanya menyangka ia disebabkan menggunakan tenaga secara berlebihan. “Selepas beberapa kali latihan, keadaan itu turut dialami pada waktu rehat.

Malah pada suatu hari ketika tidak melakukan apa-apa aktiviti, tiba-tiba saya berasa pening dan muntah. “Saya segera ke hospital untuk membuat pemeriksaan.

“Setelah mendapatkan rawatan, pihak hospital menasihati saya pergi ke hospital di Kuching. Akhirnya saya diberitahu saya menghidap barah otak. “Pembedahan telah dibuat pada Jun tahun lalu diikuti rawatan kemoterapi dan radioterapi secara berterusan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas majlis penganugerahan di sini semalam.

Jelasnya, sepanjang melalui tempoh sukar itu hingga kini, keluarganya banyak membantu dari segi kewangan serta sokongan untuk meneruskan kehidupan.

“Apa-apa sahaja yang diperlukan, ibu dan ayah saya tetap berusaha membantu,” katanya lagi. Tambahnya lagi, kini dia menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak dan turut dibenarkan keluar bagi meraikan majlis penerimaan anugerah tersebut. “Dua hari lalu saya menjalani rawatan membuang cecair di bahagian otak.

“Apabila doktor memberitahu tidak perlu lagi menjalani rawatan di hospital, saya berasakan perlu untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga. Itu menjadi keutamaan dalam tempoh ini. “Dalam menjalani kehidupan seharian, saya selalu berasa pening dan sakit kepala sehingga rasa tidak mahu makan.

“Barah otak yang saya alami kini pada tahap empat,” jelasnya yang bercita-cita menjadi Juruukur Bahan. Jelasnya lagi, sepanjang meneruskan pengajian dan menjalani rawatan, dia mempunyai matlamat yang sama seperti rakannya yang lain iaitu berhasrat membantu ibu dan bapanya selain tidak perlu lagi bergantung dengan mereka.

“Saya perlu teruskan apa-apa yang telah saya mulakan dengan bersungguh-sungguh. “Namun disebabkan kesihatan tidak mengizinkan, saya terpaksa meluangkan masa bersama-sama keluarga. “Sepanjang menjalani rawatan, saya perlu mengambil ubat yang berbeza mengikut jadual pada setiap hari.

“Malah sebelum ini, sepanjang meneruskan pembelajaran dalam talian, saya juga menyusun sebaik-baiknya masa saya,” jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Penrissen dan Executive College ini. Menurutnya, sepanjang berada di UCTS, dia mempunyai kisah memasak bersama-sama rakan di bilik asrama.

“Kami juga bersama-sama menjalani latihan taekwondo dengan bersungguh-sungguh,” katanya. Joon Meng turut menitipkan nasihat kepada semua pelajar agar mengutamakan kesihatan.

“Ini akan memudahkan kita melakukan apa-apa sahaja pekerjaan dengan mudah tanpa bergantung kepada orang sekeliling. “Jika seseorang itu tidak sihat, semua perkara tidak dapat dilakukan. “Maka utamakan kesihatan dalam apa-apa juga perkara,” jelas anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.