KUCHING: Ketua Pemuda Pergerakan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Rapelson Richard Hamit meletakkan jawatan daripada posisi itu dan memilih untuk menjadi ahli biasa.

Menuruntnya, meskipun menjadi ahli biasa, beliau akan terus berkhidmat dalam PBDSB.

“Ya (telah letak jawatan). Namun saya akan terus berkhidmat untuk parti tanpa jawatan untuk memperjuangkan hak Dayak.

“Sebarang keputusan terserah kepada Majlis Tertinggi PBDSB sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan berkenaan,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.

Tambah Rapelson, PBDSB mendapat berita baik setelah rayuan parti itu diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Perdana Menteri.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan rayuan kita dengan sokongan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Peletakan jawatan ini bukan sesuatu yang bersifat peribadi tetapi saya mahu memberi laluan kepada anak muda mengisinya,” jelasnya.

Beliau yang bersama-sama PBDSB sejak zaman mendiang Cobbold John sehingga sekarang (zaman Bobby), lega apabila Presiden mengumumkan bahawa PBDSB ‘hidup kembali’ setelah pernah tiga kali ‘mati’ dan akhirnya hidup kembali kali keempat (rayuan diluluskan).

“Banyak wakil rakyat Dayak lahir daripada PBDS suatu ketika dahulu.

“Saya juga berharap agar pemimpin Dayak ‘nikal pulai’ (kembali) untuk memperkasakan parti ini,” ujarnya.