KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini mengisytiharkan kluster Pasar Stutong tamat setelah tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari dari tarikh kes terakhir.

Katanya, kluster ini mula dikesan apabila Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menjalankan saringan aktif di Pasar Stutong yang mendapati terdapat kes-kes sporadik mempunyai sejarah perjalanan mengunjungi pasar tersebut.

“Ini juga merupakan salah satu aktiviti saringan bersasar ke atas pasar besar yang telah dijalankan oleh JKNS dengan kerjasama semua agensi di bawah JPBN Sarawak.

“Pada 16 Julai lalu, JPBN Sarawak menjalankan aktiviti saringan secara rawak ke atas peniaga yang ada di pasar tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebanyak 56 orang telah dipilih untuk saringan Covid-19 dengan menggunakan kaedah RT-PCR.

“Hasil daripada saringan awal pada 18 Julai lalu, JKNS telah mengesan dua kes positif Covid-19 daripada 56 orang yang disaring.

“Justeru, Kluster Pasar Stutong telah diisytiharkan dan diarahkan tutup selama 14 hari bagi tujuan nyah cemar untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid- 19,” jelasnya.

Katanya lagi, susulan penutupan Pasar Stutong pada hari yang sama, semua peniaga dan kontak rapat kepada kes-kes positif Covid-19 telah diarahkan untuk menjalani saringan Covid-19 serta diberikan arahan kuarantin di rumah.

“Hasil saringan berjaya mengesan seramai lima lagi kes yang disahkan telah dijangkiti Covid-19.

“Kes terakhir telah dikesan pada 22 Julai lalu yang pulih dan discaj dari wad hospital ialah pada 31 Julai,” ujarnya.