KUCHING: Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) kecewa dengan tindakan sebuah parti politik yang ingin mengajak rakyat melakukan vandalisme.

Presiden Pekasa Jaafar Hamdan berkata, perbuatan tersebut amat berat kerana melanggar undang-undang yang jelas menggariskan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kegunaan dalam urusan rasmi.

“Ia termaktub dalam Perlembagaan 152.

“Perbuatan ini boleh disabitkan dengan kesalahan melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau mengulas mengenai tindakan DAP yang menampal bahasa Mandrin di papan nama jalan di sekitar Bandar raya Kuching hari ini.

Menurut Jaafar, Pekasa berpandangan bahawa tindakan pihak ini telah mencemar asas perpaduan dan mempunyai niat tersirat untuk membangkitkan isu perkauman.

“Ia secara jelas sebagai provokasi dan hasutan yang harus diambil tindakan dari segi undang-undang di bawah akta hasutan.

“Justeru, Pekasa menyarankan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya agar peristiwa dan tindakan sebegini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada pihak lain yang ingin mencemar kedaulatan undang-undang.

Tegas Pekasa lagi, Kerajaan Sarawak harus menekankan kepada usaha-usaha menyatukan rakyat di Sarawak selepas ini khususnya tentang peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Ia bukan sahaja perlu dihormati tetapi juga harus dijadikan alat mempertingkatkan usaha penyatuan kefahaman, bahasa yang membina rasa bangga terhadap negara dan bahasa yang menjadi wahana ilmu.

“Sudah tiba masanya untuk rakyat Sarawak memartabatkan bahasa kebangsaan dan usaha-usaha memperkukuhkan wibawa bahasa kebangsaan diberi perhatian, keutamaan dan kesungguhan agar diletakkan pada tempatnya,” ujarnya.