Tidak terlintas di hati penulis berada dalam cuaca sejuk pada waktu tengah hari. Biasanya pada waktu tersebut, di tempat sendiri akan memercik peluh di dahi.

Bagi penulis, ini merupakan pengalaman yang mungkin hadir sekali seumur hidup.

Kedinginan cuaca sejuk hingga 16 darjah Celcius agak tidak selesa bagi penulis pada mulanya hingga terpaksa memakai baju sejuk.

Tapi selepas beberapa hari berada di Madinah, kedinginan bulan Februari itu sudah menjadi biasa.

Selepas menunaikan solat Zuhur di Masjid Nabawi, penulis bersama Dr. Jeniri, Hisham dan Abang Awang menyusuri laluan batu-bata dan susunan bongkah batu di kiri dan kanan yang tersusun rapi.

Terpegun penulis melihat pemandangan di depan mata. Tanah perkuburan yang begitu luas dan tanpa batu nisan bernama, malah ditanda menggunakan bongkah batu sahaja.

Kami masuk ke kawasan Perkuburan Baqi’ atau turut dikenali sebagai Jannatul Baqi’ atau Baqi’ al-Gharqad.

Tanah perkuburan tersebut terletak di dalam kawasan Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah dan terletak di bahagian tenggara serta mempunyai keluasan sekitar 174,962 meter persegi.

Jika berada di Makkah, Perkuburan al-Ma’la ialah perkuburan yang terkenal dan dianggap lokasi wajib untuk ziarah bagi yang mengerjakan umrah atau haji.

Di Madinah pula, Perkuburan Baqi’ turut menjadi lokasi harus diziarahi.

Perkuburan Baqi’ mengambil nama al-Baqi’ yang bererti taman pepohonan. Dalam erti kata lain, Baqi’ bermaksud tempat tumbuhnya pelbagai jenis pohon. Kawasan perkuburan itu dahulu banyak ditumbuhi pohon berduri bernama al-Gharqad iaitu pohon berduri yang sangat besar.

Menurut sejarah selepas penghijrahan Nabi Muhammad dari Makkah ke Madinah pada 622 Masihi selepas diangkat sebagai Rasul pada usia 40 tahun, tarikh 1 Muharam sehingga sekarang diingati sebagai Awal Muharam untuk memperingati hari kebesaran Islam.

Bagi penulis, selain menziarahi makam Rasulullah di dalam Masjid Nabawi, berjalan melalui kawasan perkuburan Baqi’ turut memberi kesan yang amat mendalam di hati.

Terasa kesayuan ketika menyelusuri kawasan perkuburan tersebut yang turut menyemadikan ahli keluarga dan 10,000 sahabat baginda kerana terkenang pahit getir, kepayahan dan kesengsaraan yang terpaksa dilalui Rasulullah dan para sahabat semasa menegakkan syiar Islam.

Difahamkan jenazah pertama disemadikan di perkuburan ini ialah sahabat dari golongan Ansar bernama Asa’ad bin Zararah.

Manakala golongan Muhajirin pertama ialah Uthman Mahzun.

Sahabat Rasulullah yang terkenal disemadikan di sini ialah Khalifah Amirul Mukminin Uthman bin Affan, isteri-isteri dan putera Rasulullah, jasad Imam Mazhab Maliki iaitu Imam Malik bin Anas turut disemadikan di sini.

Antara kelebihan seseorang yang meninggal dunia di Madinah ialah dia mendapat syafaat Rasulullah SAW pada hari akhirat kelak.

Namun tiada nas daripada al-Quran dan hadis yang secara khusus menyebut kelebihan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ melainkan di Madinah secara umumnya.

Dalam hadis riwayat Ibn ‘Umar, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang berkemampuan meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di sana.” (maksud hadis riwayat al-Tirmidzi: 3917 – Sumber Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Selain itu, antara kelebihan lain sekiranya meninggal dunia di Madinah ialah solat jenazah dihadiri oleh jemaah yang ramai di Masjid Nabawi.

Umum mengetahui kota Madinah al-Munawwarah merupakan tanah suci yang menjadi tumpuan umat Islam dan tidak surut daripada dibanjiri ramai orang tidak kira waktu dan hari.

Doa yang dipinta dan dipohon ketika solat tersebut diaminkan oleh jemaah yang ramai yang rata-ratanya daripada kalangan orang yang beriman dan soleh.

Jemaah akan berebut-rebut untuk turut serta mengusung jenazah ke tanah perkuburan Baqi’. Yang menariknya, jenazah akan diusung secara berlari oleh ratusan orang sehingga tiba ke tempat menyemadikan jenazah tersebut sama ada siang ataupun malam.

 

Penulis, Dr. Jeniri dan Hisham pernah turut serta menghantar jenazah ke tanah perkuburan Baqi’ selepas selesai menunaikan solat Asar di Masjid Nabawi.

Walaupun kami tidak berpeluang untuk mengusung jenazah tersebut namun berpeluang untuk turut serta bersama-sama jemaah lain menghantar jenazah sehingga disemadikan merupakan pengalaman yang luar biasa.

Berada di Kota Madinah, beribadah, menziarahi makam Rasulullah SAW dan para sahabat, menziarahi pula perkuburan Baqi’ yang menyemadikan keluarga dan 10,000 sahabat Rasulullah, bagi penulis merupakan satu rahmat dan tidak mungkin dapat dilupakan.

Dalam erti kata lain, Kota Madinah, makam Rasulullah serta para sahabat dan tanah perkuburan Baqi’ tetap dekat di hati setiap umat Islam. Ini adalah kerana Kota Madinah bumi kesayangan Rasulullah dan banyak menyimpan sejarah perjuangan Baginda sepanjang hidupnya.