KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan empat kes positif Covid-19 di Daerah Bintulu apabila menjadikan jumlah keseluruhan ialah 686 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, empat kes baharu itu melibatkan saringan ke atas krew sebuah kapal yang berlabuh di pelabuhan perairan Bintulu apabila baru balik dari Pelabuhan Toyama, Jepun.

“Kes-kes ini telah dibenarkan berlabuh kerana mengalami tanda dan gejala awal Covid-19.

“Seramai lima orang dibawa turun dari kapal dan dimasukkan ke wad isolasi, Hospital Bintulu untuk rawatan dan siasatan lanjut,” katanya.

Tambah JPBN, hasil saringan Covid-19 yang dilakukan pada 18 Ogos lalu mendapati empat daripadanya adalah positif ujian rT-PCR Covid-19.

“Daripada empat kes positif tersebut, dua daripadanya adalah warga tempatan manakala dua lagi adalah warganegara Filipina dan India.

“Justeru, kluster baharu diisytiharkan iaitu Kluster Alam yang merupakan sebuah kapal tangki minyak berdaftar di Pelabuhan Klang,” jelasnya.

Menurut JPBN lagi, sejarah pelayaran kapal menunjukkan kapal ini pernah singgah di Pelabuhan Toyama Shinko, Jepun pada 27 Julai hingga 1 Ogos lalu sebelum singgah di Pelabuhan Labuan pada 10 Ogos.

“Semasa dalam perjalanan ke perairan Bintulu, kapten kapal telah memaklumkan kepada ejennya terdapat dua orang anak kapal yang sakit dan memerlukan rawatan di hospital.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu pada 18 Ogos lalu mendapati lima orang mengalami tanda-tanda dan gejala awal jangkitan Covid-19 dan dihantar terus ke hospital untuk siasatan dan rawatan lanjut,” ujarnya.