KUCHING: Pemuda PBB kesal dengan tindakan DAP yang tidak menghormati undang-undang serta melakukan vandalisme secara terang-terangan terhadap papan tanda jalan di sekitar Kuching hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda PBB Fazzrudin Abdul Rahman berkata, malah DAP mendabik dada dengan perbuatan mereka itu apabila menularkannya di media sosial.

“Tindakan DAP meletakkan tulisan bahasa Mandarin atau Cina ke atas beberapa nama jalan di sekitar Kuching tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1953/1967.

“Peruntukan itu menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda nama jalan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tegas Fazzruddin, DAP yang sengaja mengeksploitasi bahasa Cina juga boleh mencetuskan ketegangan dan dianggap bermotif menghasut kerana sesuatu kaum untuk bangkit jika bahasa, budaya dan agama kaum itu digunakan sebagai ‘senjata’.

“Di bawah Akta Hasutan 1948, sesiapa yang dianggap cuba menghasut dengan membangkitkan isu berkenaan sehingga mencetuskan suasana tegang, konflik dan menggugat keselamatan, boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

“Pemuda PBB percaya semua rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, sayang akan bahasa dan budaya masing-masing, namun pada masa sama, semua kita harus menghormati perlembagaan dan bahasa kebangsaan,” jelasnya.

Menurutnya, semua pihak harus bersikap realistik dalam perkara ini dan terus mempertahankan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini.

“DAP yang ketandusan modal selepas mereka gagal menunaikan segala janji dalam manifesto PRU-14 apabila diberi peluang memerintah negara, jelas amat terdesak menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 sehingga sanggup mempolitikkan isu bahasa Cina hanya untuk kepentingan peribadi dan parti semata-mata.

“Budaya politik negatif sebegini sememangnya tidak diterima di Sarawak yang amat menghargai perpaduan,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, pihak berkuasa tempatan harus mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat sebelum ia mencetuskan suasana kurang senang di kalangan masyarakat sekali gus mengugat keharmonian kaum di negeri ini.