DARO: Masyarakat khususnya golongan muda perlu mengubah persepsi negatif terhadap sektor pertanian, sebaliknya menjadikan bidang itu sebagai sumber ekonomi utama untuk membina kehidupan lebih terjamin.

Adun Daro Safiee Ahmad berkata, bidang pertanian mempunyai potensi cukup besar malah pasarannya juga sentiasa ada.

Ketika ini katanya, bidang pertanian masih dilihat sebagai sektor yang tidak mampu berkembang dan sering dikaitkan dengan perkara negatif.

“Anggapan seperti itu adalah salah dan mesti diketepikan kerana sektor ini sebenarnya semakin berkembang dan sentiasa melalui perubahan mengikut peredaran zaman.

“Di negara maju seperti Jepun, Belanda dan Amerika Syarikat, bidang ini diusahakan secara profesional malah menjadi satu kerjaya yang mendatangkan pendapatan lumayan,” katanya ketika merasmikan Program Perluasan Jangkauan Komuniti (CEOP) anjuran Jabatan Pertanian Sarawak dan Bahagian Pertubuhan Peladang Sarawak di Dewan Masyarakat Daro, kelmarin.

Beliau berkata, petani boleh terus kekal dalam industri tersebut melalui penyusunan semula strategi dan mengolah kaedah pertanian.

Pada masa sama katanya, ilmu dalam bidang berkaitan amat penting sebagai nilai tambah bagi memastikan hasil pertanian mereka terus kukuh dan berupaya memenuhi permintaan pasaran.

“Kerajaan terus melaksanakan pelbagai pendekatan untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda tani pada masa depan. “Selain program kursus, seminar dan sebagainya, kita juga berusaha menyediakan pelbagai kemudahan lain.

“Usaha itu termasuk berusaha membina prasarana yang memudahkan mereka untuk memasarkan hasil pertanian,” katanya.

Safiee berharap penduduk khususnya petani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan itu.

Dalam pada itu beliau juga memberitahu, Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta melalui Tabung Kemudahan Pertanian (AFF) kepada setiap kawasan Dun.

Selain bantuan input berupa peralatan dan pertanian katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM120,000 untuk melaksanakan program berbentuk bengkel.

“Antara tujuan pelaksanaannya ialah memberi penerangan dan ilmu di samping menyuntik semangat dan kemahiran dalam kalangan peserta.

“Bagi kawasan Daro, penganjurannya melibatkan empat daerah dan peringkat permulaan ini disertai 119 peserta,” ujarnya lagi.