KUCHING: Sepanjang pandemik Covid-19, ramai penduduk terutama di Kampung Telaga Air telah beralih daripada sektor pekerjaan kepada nelayan.

Untuk itu, nelayan yang menjadikan menangkap ikan sebagai pendapatan utama harus dibantu.

Semalam Jabatan Perikanan Laut Sarawak tampil dengan inisiatif melepaskan benih ikan siakap ke kawasan perairan Telaga Air untuk membantu melestarikan sumber perikanan di negeri ini.

Salah seorang nelayan, Latip Bohari, 49, berharap lebih banyak aktiviti seperti itu diadakan di kawasan tersebut.

Menurutnya, sepanjang lebih 20 tahun menjadi nelayan di kawasan itu, dia menyedari berlaku kekurangan hasil tangkapan.

“Saya sedar memang berlaku kekurangan tangkapan ikan jika dibandingkan dahulu.

“Salah satu sebabnya, ramai yang sudah beralih menjadi nelayan kerana tiada pekerjaan lain.

“Selain itu, permintaan ikan terutama kerapu juga tinggi,” katanya.

Dia mencadangkan agar diwujudkan projek tukun sederhana di kawasan sungai seperti juga di laut.

“Ini diyakini dapat membantu membiakkan lebih banyak ikan di kawasan ini termasuk di kawasan saya Kampung Jaya Bakti,” tambahnya.

Latip berharap kerajaan meneruskan perancangan membina tukun di kawasan Batang Air Rambungan untuk menggalakkan pertambahan spesies ikan di laut ataupun sungai.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Satang Biru Suhaidi Saini menjelaskan, pihaknya sedar berlaku kekurangan tangkapan hasil laut di kawasan berkenaan.

“Jika dilihat dari tahun ke tahun, jumlah tangkapan hasil laut kini memang berkurangan, namun kami tetap menjalankan aktiviti menangkap ikan seperti biasa.

“Walaupun cuaca tidak menentu menjadi cabaran, nelayan boleh mengambil inisiatif untuk menternak ikan di dalam sangkar sebab ia salah satu cara untuk memastikan sumber ikan ini sentiasa ada,” jelasnya.

LATIP BOHARI

 

SUHAIDI SAINI