PADAWAN: Sebanyak lapan buah premis dipercayai menjalankan aktiviti perjudian secara haram di kawasan Matang dan Batu Kawa dikenakan tindakan pemotongan elektrik, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, tindakan tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan bersama beberapa kakitangan Syarikat Sesco Berhad (SEB) di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kita telah membuat tindakan pemotongan elektrik serta merta terhadap mana-mana premis yang dikenal pasti berunsurkan aktiviti perjudian tanpa lesen seperti loteri awam tanpa lesen serta perjudian dalam talian.

“Pemotongan bekalan hari ini sekaligus mencatatkan sejumlah 19 premis telah diambil tindakan pemotongan elektrik bermula 1 Ogos sehingga 21 Ogos 2020,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, katanya, sejumlah 48 premis disyaki mengoperasikan aktiviti perjudian tidak berlesen di seluruh kawasan Padawan telah dikenakan tindakan sama bermula 1 Jan 2020 hingga 21 Ogos 2020.

Tegasnya, tindakan pemantauan terhadap kegiatan judi haram menerusi Op Dadu di sekitar Padawan akan terus dilaksanakan tanpa henti bagi memastikan kawasan itu bebas daripada aktiviti tersebut.

Dedahnya, kebanyakan premis terbabit beroperasi dengan cara bersembunyi di sebalik premis-premis perniagaan biasa.

“Tindakan pemotongan elektrik adalah berterusan selain serbuan mengejut akan dilaksanakan setiap hari.

“Bagi mereka(suspek) yang ditangkap akan direman serta dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan serta berhadapan dengan tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Kita turut berbincang bersama Majlis Perbandaran Padawan untuk tindakan perlucutan lesen terhadap individu-individu (penganjur perniagaan) yang menjadikan perniagaan sebagai ‘udang di sebalik batu’ untuk menutup perilaku jenayah yang dilakukan,” ulasnya.

Jaw Shyong selain itu turut mendedahkan suspek lelaki berkaitan buli jalanan di jalan Arang pada 17 Ogos lalu telah dituduh di Mahkamah Kuching pada hari ini.

Katanya, Orang Kena Tuduh(OKT) bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tambahnya, suspek bersabit laporan melibatkan buli jalanan dan merosakkan pintu papan sewaktu dalam tahanan reman.

Ujarnya, suspek bagaimanapun gagal membayar denda jaminan sebanyak RM8,000 yang ditawarkan oleh Mahkamah Kuching terhadap kedua-dua kes.