Hari ini umat Islam meraikan Awal Muharam atau Maal Hijrah – meraikan permulaan Tahun Baru Islam.

Awal Muharam atau Maal Hijrah merupakan hari penting bagi umat Islam memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada 622 Masihi.

Peristiwa bersejarah itu berlaku 1 Muharam tahun baru dalam takwim Hijrah. Biasanya sebelum ini sambutan Awal Muharam meriah dengan perarakan dan keramaian diadakan pada peringkat negeri.

Memandangkan kita masih berada dalam pasca-Covid-19, tiada program keramaian kali ini.

Namun, ramai yang menyambutnya untuk diri sendiri seperti nemasang azam baharu sama setiap kali muncul 1 Januari.

Berbicara tentang azam, berapa ramai antara kita yang berjaya menunainya setiap kali muncul tahun baharu?

Tidak semua azam dapat direalisasi. Ada azam hanya tinggal nama dan bukan semua kita impikan akan termakbul selama 12 bulan akan datang hingga muncul azam baharu yang lain.

Apabila ingin menetapkan sesuatu azam, janganlah kita terlalu banyak azam sehingga satu pun tidak tercapai.

Mungkin dengan menetapkan beberapa azam sahaja, ia boleh dicapai dengan usaha dan strategi berkesan.

Azam yang ditetapkan itu, walaupun tidak mampu untuk mencapai semuanya sekurang-kurangnya kita ada usaha menjayakannya.

Realiti banyak azam yang tertunda dan ramai pula yang azamnya tergendala.

Setiap matlamat ingin digapai perlu dimulakan dengan niat ikhlas disusuli usaha. Jika pasang ikhlas sahaja tidak cukup, azam itu harus dimulai dengan usaha. Misalnya tahun ini kita berazam menabung RM500 sebulan dan kita harus memulakannya dengan usaha. Jangan pernah menunda apa-apa azam kerana ia seperti tugasan, jika sering tertunda ia tidak akan menjadi.

Azam harus dipasang dengan strategi dan disiplin diri

Apa-apa perkara yang kita lakukan tidak kira ia azam baharu atau sebaliknya, usaha, ikhlas, strategi dan disiplin perlu berjalan seiring.

Tanpa salah satunya, sama ada azam, cita-cita dan kerja tidak akan terlaksana.

Tanyalah rahsia daripada orang berjaya, disiplin dan strategi antara perkara yang memacu kejayaan mereka. Menegakkan disiplin sangat penting bagi kerjaya kita. Ia jaminan terbesar kelancaran pelaksanaan kerja yang menjanjikan hasil besar yang positif.

Tanpa disiplin, semua kerja pada penghujung hari sia-sia. Kita kutip sejarah mudah kejayaan pengasas KFC, Colonel Sanders.

Siapa yang tidak tahu KFC – Kentucky Fried Chicken – sebuah restoran rantaian makanan segera Amerika yang beribu pejabat di Louisville, Kentucky yang pakar dengan hidangan ayam goreng.

Ia rangkaian restoran kedua terbesar di dunia selepas McDonald’s, dengan 22,621 restoran di seluruh dunia di 136 negara pada tahun lepas.

Colonel Harland Sanders merupakan peniaga ayam goreng dari kaki lima di Corbin, Kentucky.

Rahsia kejayaan saya ialah disiplin, strategi dan tidak mudah putus asa – itulah kata-katanya setiap kali ditanya bagaimana menu ayam gorengnya boleh menawan dunia.

Sanders membuka kedai KFC pertama di Utah pada 1952 yang mempelopori ayam dalam industri  makanan segera.

Mencipta dirinya sebagai Kolonel Sanders, beliau menjadi tokoh sejarah budaya AS terkenal dan imejnya masih digunakan secara meluas dalam pengiklanan KFC hingga ke hari ini.

Kisahnya semua orang pernah membaca bagaimana anak yang kehilangan bapa ketika berusia 5 tahun berjaya mencabar dirinya sendiri.

Pada usia 16 tahun, Sanders berhenti sekolah dan setahun kemudian beliau mencuba empat pekerjaan.

Pada umur 18 tahun, dia berkahwin hingga usianya 22 tahun, dia menjadi konduktor kereta api dan gagal mempertahankan kerjayanya.

Akhirnya Sanders menyertai tentera dan memohon memasuki sekolah undang-undang tetapi ditolak.

Dia menjadi seorang jurujual insurans dan gagal lagi.

Kegagalan demi kegagalan dalam hidupnya tidak pernah merosaķkan impian Sanders untuk berjaya.

Beliau pernah terfikir mahu membunuh diri kerana telah gagal begitu banyak kali. Sanders duduk di bawah pokok menulis kemahuannya, sebaliknya, beliau menulis apakah yang akan dicapai dengan hidupnya.

Ada satu perkara yang Sanders yakin boleh lakukan dengan lebih baik daripada orang lain iaitu menggoreng ayam.

Berbekalkan wang AS$87 beliau mencipta menu ayam goreng dan menjualnya dari rumah ke rumah di kejiranannya.

Walaupun berjaya pada usia sedikit tua, Sanders percaya satu perkara bahawa kejayaan tidak pernah datang dengan tangan kosong.

Usaha, disiplin dan ikhlas kata Sanders amat penting jika anda mahu berjaya.

Beliau dan tokoh yang berjaya lain sependapat; kita tidak pernah terlambat untuk memulakan sesuatu sekali lagi namun yang penting adalah tentang sikap kita.

Sikap penentu jatuh bangunnya kita dalam kerjaya. Berbekal sikap yang bagus dan usaha lebih, ke mana pun kita pergi pasti ada kejayaan menanti.