HARI ini merupakan hari pertama dalam kalendar umat Islam iaitu 1 Muharam 1442 Hijrah.

Di Malaysia, tahun baharu Islam diraikan dan diwartakan sebagai hari kelepasan am, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Bagi umat Islam di negara ini, 1 Muharam turut dikenali sebagai Maal Hijrah. Pada tahun-tahun sebelum adanya ancaman Covid19, acara ini disambut secara besar-besaran termasuk diadakan perarakan, perhimpunan dan penganugerahan tokoh Maal Hijrah.

Selain itu, di masjid dan surau di seluruh negara turut diadakan pengisian lain seperti bacaan doa akhir dan awal tahun, ceramah dan Forum Perdana Maal Hijrah.

Gambar faiI – Forum Perdana Maal Hijrah

Kesemua ini dilakukan bagi memperingati perjuangan besar Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan syiar Islam sehingga ke seluruh pelosok dunia.

Dalam konteks hari ini, hijrah sering kali dikaitkan dengan perpindahan atau perbuatan meninggalkan sesuatu tempat untuk ke tempat lain.

Justeru, jika pengertian tersebut diguna pakai dalam mentafsir makna hijrah, maka tidak hairanlah sekiranya ada pemimpin politik yang menyamakan hijrah dengan pelarian.

Walhal, jika kita telusuri sirah dan pengertian hijrah Nabi Muhammad SAW, pasti tidak selayaknya untuk disamakan dengan pelarian ataupun pendatang yang memasuki negara ini secara haram.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana, hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah atau sebelum itu dikenali sebagai Yathrib, dilaksanakan atas perintah Allah SWT.

Perkara ini jelas terkandung dalam Surah al-Hajj ayat 40 yang bermaksud; “Iaitu mereka yang diusir dari kampung dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah.”

Dalam Riwayat al-Bukhari (1871) Rasulullah SAW bersabda; “Aku diperintahkan untuk berhijrah ke sebuah kota yang akan mengalahkan kota lain. Kota itu disebut Yathrib. Itulah Madinah. Kota itulah yang akan membersihkan manusia (daripada segala keburukan dan kemusyrikan) sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi.”

Foto Kredit Ikimfm

Di sisi yang lain, penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah atas jemputan penduduk di sana yang telah pun memeluk Islam pada ketika itu.

Justeru, jelas penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah, ibarat ‘kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan’ bagi penduduk Madinah.

Dalam hal ini, jelas membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW bukannya seorang pelarian yang tidak tahu hala tuju dan matlamat ketika menuju ke Madinah.

Penerimaan penduduk Madinah iaitu kaum Ansar terhadap penghijrahan Rasulullah SAW dan kaum Muhajirin, tidak sekadar dibuktikan dengan kata-kata, namun dibuktikan dengan kesanggupan mereka berkongsi harta benda dan kekayaan dengan kaum Muhajirin.

Di samping itu, dalam konteks pembinaan negara bangsa, kehadiran Nabi Muhammad SAW di Madinah telah dijulang sebagai pemimpin, ketua negara dan ketua agama. Mana mungkin di sebuah tempat asing yang mempunyai ramai ketua kabilah, sanggup menerima ‘orang luar’ sebagai seorang ketua.

Namun, itulah ciri-ciri penting yang terdapat pada insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, sehingga Michael H. Hart dalam bukunya The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, meletakkan baginda sebagai tokoh paling berpengaruh dalam sejarah ketamadunan manusia sejak zaman berzaman.

Selain menelusuri sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW, hijrah seperti yang telah berlaku pada 1442 tahun yang lalu, sudah pasti tidak akan berulang pada zaman kini.

Pun begitu, umat Islam harus memahami pengertian hijrah secara maknawi iaitu menghindari, meninggalkan dan menjauhkan diri daripada sesuatu, sama ada secara perbuatan, perkataan atau perasaan.

Dalam bahasa mudah, hijrah merupakan perpindahan jiwa, dari yang buruk kepada yang baik atau dari yang baik kepada yang lebih baik.

Bertitik tolak daripada hakikat tersebut, umat Islam seharusnya berani berubah atau berhijrah ke arah perkara yang dapat meninggikan martabat dan syiar Islam.

Sebarang tindak tanduk yang boleh menjejaskan imej Islam seperti perlakuan rasuah, zina, judi, arak dan dadah perlu dihindarkan.

Imej sumber Google

Bagi yang telah terlanjur atau terjebak, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, dengan melakukan penghijrahan dalam diri.

Sesungguhnya, melakukan perubahan ke atas diri sendiri bagi tujuan kebaikan, merupakan satu perjuangan yang menuntut pengorbanan.

Sehubungan itu, hijrah merupakan transformasi diri berteraskan ajaran Islam, yang akhirnya berupaya mencorak ketamadunan dan masa depan ummah secara keseluruhannya.

Justeru, sempena sambutan Maal Hijrah pada hari ini, marilah kita semua memperbaharui azam dan iltizam, dengan mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW.

Semoga penghijrahan dalam diri dan komuniti setempat, akan dapat melahirkan masyarakat Islam yang berwawasan, harmoni dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Hijrah itu pengorbanan, perjuangan, persaudaraan, dan perpaduan. Salam Maal Hijrah!