KUCHING: Pembangunan jangka panjang Medan Niaga Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya perlu seragam dengan program pembangunan Darul Hana.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia penting supaya pusat perniagaan tersebut terus relevan dan menjadi destinasi wajib dikunjungi dalam kalangan pelawat dan masyarakat tempatan.

Menurutnya, penjenamaan semula juga perlu dilakukan agar segala infrastruktur yang ada dapat ditambah baik selain meningkatkan keceriaan pusat perniagaan tersebut.

“Tempat ini memang berpotensi besar kerana menjadi tumpuan utama pelancong terutama untuk mendapatkan kek lapis dan produk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan berkenaan Medan Niaga Permaidani Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya di Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, kerjasama antara agensi seperti SEDC, DBKU dengan Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) perlu terus dijalinkan supaya usaha menaik taraf pusat tersebut dapat dilaksanakan secara efisien tanpa berlaku pertindihan.

“Ketiga-tiga agensi ini ada perancangan tersendiri.

Jadi kita harap setiap perancangan dapat direalisasikan supaya memberi manfaat kepada peniaga dan masyarakat,” ujarnya.

Menurutnya, agensi yang berkaitan juga perlu memikirkan langkah menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di medan berkenaan terutama pada hujung minggu.

“Kita dapat saksikan jalan di kawasan ini sesak bukan hanya disebabkan kebanjiran kereta tetapi juga gerai peniaga yang diletakkan di ruang parkir,” jelasnya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sabariah Putit; Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir dan Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad turut hadir.