SELAMAT menyambut awal Muharam 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia khususnya di tanah air.

Yang pasti, lembaran akhir 1441 Hijrah sudah melabuhkan tirainya dan segala yang berlaku sepanjang tahun akan menjadi memori serta sejarah yang tidak akan berulang.

Kini, kita memulakan ceritera baharu pada hari baharu pada tahun baharu dengan suasana berbeza angkara pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, kehidupan harus diteruskan waima terpaksa menyesuaikan diri dengan kelaziman-kelaziman baharu.

Marilah kita bersama-sama berdoa dengan harapan wabak Covid-19 dilenyapkan dari muka bumi.

Jangkitan terkini di seluruh dunia mencecah angka 22,046,135.

Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan segala penyakit berbahaya yang lain. Amin.

Sambutan Maal Hijrah tahun ini bertemakan Ummah Rabbani, Negara Harmoni.

Ia bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa dan agama yang telah dicontohkan pada zaman Nabi Muhammad SAW – demikian jelas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Paimuzi Yahya.

Kewujudan masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian ini bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Teras kekuatan ummah rabbani ialah modal insan yang berkualiti yang merupakan tunjang dalam kebanyakan pelanpelan yang dibangunkan oleh kerajaan.

Imam AI-Ghazali

Konsep negara harmoni dalam kepelbagaian ini amat berkait rapat dengan maqasid syariah yang turut dinyatakan oleh Imam AI-Ghazali sebagai maslahah yang mengambil manfaat dan menolak keburukan.

Namun, sejauh manakah kita faham konsep rabbani yang dimaksudkan? Menurut tafsir pimpinan Ar-Rahman, rabbani bermaksud orang yang menyembah Allah SWT dengan ilmu dan amal yang sempurna.

Sementara Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Zilalil Quran menyebut, rabbani bermaksud orang menghubungkan dirinya kepada Allah dengan amal ibadat.

Manakala profesor Dr. Abdul Malik Karim Amrullah mentafsirkan kalimah rabbani dalam kitab tafsir Al-Azhar sebagai orang yang rapat dengan Tuhan dalam urusan kerohanian.

Ibn Manzur pula memecahkan perkataan rabbani kepada tiga definisi iaitu manusia yang menyembah Allah, manusia yang memahami ilmu ketuhanan dan orang yang mendalami ilmu agama dan beramal dengannya.

Dr. Abdul Malik Karim Amrullah

Daripada tafsiran berkenaan, jelas bahawa konsep rabbani itu berkait tentang ketaatan seseorang kepada Tuhannya, yang tidak boleh diabaikan.

Tidak akan harmoni negara, tanpa ummah yang berpegang kepada agama. Allah berfirman memerintahkan supaya hak-Nya dipenuhi seperti mana ayat 36 Surah An Nisa’.

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa pun. Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat mahupun jauh, rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar serta hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri”.

Dalam pada itu, mengajak umat menuju kepada sifat rabbani, sama ada untuk dunia atau akhirat. Jika kita mahu mendapatkan nilai rabbani, maka hendaklah merealisasikannya dalam diri sendiri terlebih dahulu, kemudian dalam rumah tangga dan akhirnya dalam masyarakat.

Ini dilakukan dengan mempraktikkan akhlak mulia sehingga dapat membangkitkan umat menuju kebaikan yang telah di gariskan oleh Allah.

Seiring perkembangan zaman dan kemajuan teknologi, masyarakat hari ini juga dituntut untuk terus melakukan transformasi atau penghijrahan dengan mengambil kira landasan syarak.

Ia bagi memastikan masyarakat tidak ketinggalan akibat kepesatan pembangunan. Banyak perkara berkisar soal teknologi pintar.

Inilah keperluan masa depan yang harus kita tempuhi sekali gus memerlukan seluruh masyarakat melakukan transformasi atau penghijrahan.

Hal ini kerana berbagai maklumat dan jenis pemikiran daripada mana-mana bahagian di dunia ini kita dapat tahu melalui kemajuan teknologi tersebut pada masa kini.

Ketahuilah, hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar tentang kisah setiap kali tibanya awal Muharam, tetapi yang penting mengambil pengajaran sebagai panduan dalam menyelusur sirah Baginda dalam membina negara.

Hijrah yang bersandarkan keimanan dan ketaqwaan mampu mengubah landskap pegangan akidah, ibadah, akhlak, sosial dan ketamadunan serta masa depan ummah.

Justeru, kita mengharapkan Sarawak khasnya dan Malaysia amnya terus dipelihara oleh Allah dan selamat serta kekal berdaulat, maju jaya kerana itulah pengertian sebenar hijrah. Salam Maal Hijrah!