SERIAN: Semua kawasan Dun majoriti Bidayuh harus menyumbang kemenangan kepada GPS pada PRN-12 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Justeru Naib Presiden PBB Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, komuniti Bidayuh harus mengundi sesiapa sahaja calon yang diletakkan GPS di kawasan itu.

“Jangan melihat muka calon tetapi lihatlah lambang GPS kerana hanya GPS dapat membantu kita.

“Jadi kita harus memastikan kesemua lapan kerusi Bidayuh menang dengan majoriti yang baik untuk GPS,” katanya ketika ditemu bual selepas Majlis Penyerahan Input Projek Ternakan dan Pertanian yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Kampung Pichin, di sini Rabu.

Pemimpin Bidayuh itu turut menegaskan, komuniti Bidayuh harus terus bersatu memandangkan ia kini telah berpecah disebabkan perbezaan politik.

“Di Malaysia, populasi kaum Bidayuh yang merangkumi kawasan Serian, Tebedu, Padawan, Penrissen, Bau dan Lundu hanya 220,000 orang sahaja.

“Kita bukan kaum yang besar tetapi keistimewaan kita ialah terletak berhampiran kawasan bandar. Maka saya harap kaum Bidayuh mengekalkan perpaduan dengan menyokong 100 peratus GPS agar terus mendapat pembangunan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Manyin yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi berharap penyandang kerusi Dun majoriti Bidayuh dikekalkan bertanding dalam PRN-12 nanti.

Katanya, ia termasuk kerusi Dun Mambong yang disandang Datuk Dr Jerip Susil, melainkan Dun Opar kerana penyandangnya Datuk Ranum Mina telah menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Menurut beliau, bagi Dun Mambong, walaupun kerusi ini secara tradisi ditandingi calon SUPP, namun penyandangnya Dr Jerip kini ahli PBB.

“SUPP Mambong telah menuntut bertanding di Dun Mambong dan mengumumkan calon berpotensi mereka.

“Kerusi ini asalnya milik SUPP tetapi selepas PRN-11, ia diberikan kepada calon langsung UPP (kini PSB) tetapi penyandangnya (Dr Jerip) sekarang sudah secara rasmi ahli PBB.

Kita akan serahkan keputusan kepada Ketua Menteri sahaja,” katanya.

Manakala bagi kerusi Dun Opar, Manyin berkata, sedang mengenal pasti calon yang berpotensi untuk disyorkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS.

“Kami mempunyai dua atau tiga nama untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri tetapi belum dimuktamadkan lagi,” katanya.

Mengenai kedudukan dirinya sama ada akan bertanding atau tidak dalam PRN-12, penyandang kerusi Dun Tebedu itu menyerahkan keputusan kepada kepemimpinan tertinggi PBB.

Sementara, Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB menggesa rakyat Sarawak agar terus memberi mandat kepada GPS menerajui pentadbiran kerajaan pada PRN-12.

Katanya, ia bagi memastikan kesinambungan program pembangunan yang dirancang Kerajaan GPS.

“Kerajaan GPS memang sudah ada program untuk membangunkan rakyat malah peruntukan juga sudah diluluskan. “Walaupun jalan raya, elektrik dan air sudah ada tetapi banyak lagi pembangunan lain yang perlu kita aturkan khususnya untuk meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.