SIBU: Program Info On Wheels (IOW) Merdeka Sibu di Pasar Ria Sibu Jaya semalam berlangsung dalam suasana meriah, sekali gus menggambarkan kejituan semangat patriotik penduduk Sibu meraikan bulan kemerdekaan tahun ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan (Japen) dihadiri Pengarah Negerinya Swady Guliling dan disertai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Japen Ajes Tuah dan Pegawai Penerangan Daerah Sibu Rosman Zaini.

Antara acaranya ialah nyanyian lagu Jalur Gemilang secara beramai-ramai ketika program berlangsung.

Selain itu, sesi agihan Jalur Gemilang kepada peniaga di 60 gerai terbuka dan 16 gerai makan di Pasar Ria disempurnakan Swady.

Seorang anggota penguat kuasa Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Yek Chu Sing mengucapkan terima kasih dan penghargaan terhadap usaha mengadakan program yang mampu menyuntik semangat patriotik.

Antara objektif program ialah menyemai rasa sayang akan negara sesuai dengan tema Hari Kebangsaan – Malaysia Prihatin – sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang bangga menjadi rakyat Malaysia.