MIRI: Sebuah stor simpanan pakaian terpakai musnah dalam kebakaran di Kampung Madinah, Suai, Niah di sini pada Selasa.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian sekitar jam 10.18 malam.

Sebuah jentera serta enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 24 kilometer dari balai.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah stor jenis separuh kekal yang menyimpan pakaian terpakai.

“Pasukan terus menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan salur bantu mula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, setelah api berjaya dipadamkan, pasukan kemudian membuat pemeriksaan menyeluruh di lokasi tersebut bagi memastikan keadaan selamat.

“Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau sebarang kemalangan jiwa “Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” ujar Poh Kiong.