KUCHING: Nelayan tetap turun ke laut untuk mendapatkan bekalan ikan bagi memenuhi keperluan protein penduduk walaupun dalam pasca-Covid-19. Pengarah Perikanan Laut Sarawak Bohari Leng berkata, itu jasa nelayan walaupun turut terkesan dengan ancaman Covid-19.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana nelayan masih dapat turun ke laut walaupun ramai yang bekerja dalam sektor pelancongan, penerbangan dan sebagainya hilang pekerjaan.

“Nelayan perlu berusaha untuk menangkap ikan setiap kali ke laut.

Semuanya bergantung kepada keadaan cuaca semasa.” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Program Pelepasan Benih Ukan di Kampung Telaga Air, di sini, semalam.

Jelasnya lagi, program itu merupakan usaha jabatannya untuk melestarikan sumber perikanan agar lebih banyak ikan dapat dibiak di perairan negara.

Pemilihan Telaga Air ujarnya tepat kerana mempunyai ekosistem paya bakau dan kualiti air yang sesuai untuk ikan siakap membiak.

“Usaha setiap tahun ini dapat membantu menambah sumber ikan, seterusnya meningkatkan potensi kawasan Telaga Air sebagai kawasan pelancongan.

“Sudah pasti ramai pemancing dapat hadir ke sini. Pada masa yang sama menggerakkan lagi sektor ekonomi penduduk tempatan, ditambah dengan pelbagai aktiviti rekreasi, kewujudan gerai, kafe dan sebagainya,” tambahnya.

Bohari berkata, usaha jabatannya itu selaras dengan perancangan Kerajaan Sarawak menjadikan Telaga Air sebagai pusat pelancongan yang berpotensi menjadi tempat tumpuan pemancing dari dalam dan luar Sarawak.

“Majukanlah usaha anda (nelayan) dan tambah nilai aktiviti untuk menjana produk pelancongan di Telaga Air ini, “ katanya.

Pada majlis tersebut, lebih 5,000 benih ikan siakap berukuran lima hingga tujuh inci dilepaskan sebagai simbolik berterusan agar semua sumber laut di kawasan tersebut dapat dipelihara pada masa akan datang.