KUALA LUMPUR: Terbitan Sukuk Prihatin Islam berjumlah RM500 juta dilihat sebagai langkah positif untuk menyokong ekonomi dengan memanfaatkan dana domestik yang lebih murah dan persekitaran mudah tunai yang baik.

Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan AmBank Dr Anthony Dass berkata Sukuk itu menarik terutamanya kepada pelabur berikutan ia dikeluarkan oleh kerajaan yang boleh dianggap sebagai aset bebas risiko atau bersamaan dengan bon Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).

“Sektor korporat dijangka melanggan sebahagian besar terbitan itu berbanding peruncitan, berikutan kapasiti penempatan yang relatif antara korporat dan masyarakat.

“Selain itu, urus niaga semasa memberi ruang kepada mereka untuk mempelbagaikan portfolio mereka dengan status aset bebas risiko,” katanya kepada Bernama.

Dass berkata dengan ruang untuk tambahan pengurangan Kadar Dasar Semalaman ditambah dengan persekitaran inflasi yang baik, Sukuk itu terus menarik daripada momentum peningkatan hasil tambahan dan perspektif hasil positif bersih.

Beliau berkata walaupun melabur dalam bon Sukuk dilihat sebagai peluang pelaburan, masih terdapat peluang untuk melabur dalam produk pelaburan lain yang mungkin menawarkan pulangan yang setara atau lebih tinggi.

“Secara ringkasnya, Sukuk Prihatin dapat dilihat sebagai pendekatan serampang dua mata. Pertama, ia membantu kerajaan menyokong ekonomi. Walaupun ia mungkin tidak mencukupi untuk mencapai semua matlamat, ia boleh dilihat sebagai pendekatan berhemat yang diambil oleh kerajaan.

“Kedua, ia turut mewujudkan peluang untuk keuntungan modal dengan kos kemasukan yang rendah, justeru, menarik kepada pelabur untuk melanggan bon ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid melihat Sukuk Prihatin, yang memberi kadar keuntungan sebanyak dua peratus, dianggap menarik berikutan ia lebih tinggi berbanding kadar deposit tetap.

Selain itu, katanya ia dianggap risiko kredit sifar berikutan instrumen itu dikeluarkan oleh kerajaan dan dalam mata wang ringgit Malaysia.

“Daripada pandangan pelabur, melabur dalam Sukuk Prihatin mempunyai aspek perniagaan berikutan mereka perlu mempelbagaikan pelaburan mereka dan ternyata, mempunyai aset yang berkualiti tinggi adalah baik untuk pemeliharaan modal.

“Sementara itu, memanfaatkan bidang digital untuk pengedaran akan bermakna akses yang lebih baik untuk pelabur, terutamanya bagi mereka yang celik IT dan mungkin juga kepada pelabur muda,” katanya.