SERIAN: Kampung Riih Daso bakal menjadi pengeluar ikan tilapia terbesar di bahagian ini menerusi Projek Kolam Otong Niee yang sedang dibangunkan di kampung itu.

Sebanyak 120 sangkar digunakan untuk menternak sekitar 90,000 ikan tilapia di kolam berkenaan sejak dibangunkan pada Jun lalu dan menarik perhatian Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Justeru Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk membantu membangunkan projek berkenaan.

“Saya sedia membantu tetapi saya menunggu laporan Jabatan Pertanian dari segi potensi dan hala tujunya. Kalau bagus, kita bangunkan dengan kemudahan lebih moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatannya ke tapak Projek Ternakan Ikan Air Tawar Kolam Otong Niee Kampung Riih Daso di sini Rabu yang turut dihadiri Adun Bukit Semuja John Ilus.

Uggah yang juga Menteri Kewangan II akan membantu membangunkan projek tanaman jagung bijirin untuk diusahakan Biro Pertanian Dun Bukit Semuja di Kampung Riih Daso.

“Kerajaan Sarawak terpaksa mengimport jagung bijiran dengan nilai RM400 juta setahun untuk bekalan makanan ternakan,” katanya.

Justeru jelasnya, tanaman jagung bijirin berpotensi besar untuk dibangunkan bagi menampung bekalan yang diperlukan.

“Saya akan bantu dan berharap Biro Pertanian Dun Bukit Semuja dapat merancang program ini.

“Kita mahu melihat belia termasuk wanita terlibat dalam program seperti ini kerana pertanian boleh menjadi bidang yang sangat luas dan memberi pendapatan lumayan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan masyarakat luar bandar terlibat dalam penternakan kambing dan lembu.

Kerajaan Sarawak jelasnya, menyediakan peruntukan untuk program berkenaan.