KUCHING: Tindakan Pemuda Sosialis Dap (Dapsy) menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar bandar Kuching umpama mendorong kegiatan vandalisme dalam kalangan masyarakat.

Presiden Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (Pekasa) Ja’afar Hamdan berkata, tindakan itu seolah-olah menggalakkan vandalisme untuk membetulkan keadaan yang salah.

“Isu timbul apabila mereka seakanakan mendorong vandalisme untuk membetulkan keadaan tanpa merujuk kepada undang-undang.

“Selain itu, apabila mereka meletak bahasa Cina pada papan tanda, timbul satu lagi masalah iaitu persoalan tentang bahasa lain kerana Sarawak bukan terdiri daripada kaum Cina,” jelasnya.

Di samping itu beliau memberitahu, tindakan Dapsy menampal pelekat bertulis Cina harus tidak berlaku lebih-lebih lagi menyentuh tentang hak perkauman.

“Kita tidak mahu isu hak perkauman dilihat seolah-olah akan didominasi kerana di peringkat masyarakat Melayu sendiri ada yang tidak menguasai sepenuhnya,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Malah Ja’afar menjelaskan, tanggapan masyarakat terhadap hak milik sesuatu bahasa perlu diperbetul.

“Banyak orang beranggapan bahasa Malaysia dimiliki oleh orang Melayu.

“Namun hakikatnya bahasa Malaysia merupakan bahasa dinamik, bermaksud ia sudah dicampur dengan pelbagai bahasa termasuk bahasa Iban, Bidayuh dan Arab,” jelasnya.

Foto MOHD ALIF NONI