KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menasihati pihak tertentu supaya tidak membuat sebarang kenyataan kurang tepat mengenai kes kebakaran di Sarawak terutamanya melibatkan rumah panjang.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata, selalunya maklumat tidak tepat jatuh ke tangan pihak ketiga tanpa menyemak kesahihannya daripada bomba.

“Misalnya isu kebakaran rumah panjang. Bomba sedia berkongsi dan menjelaskan secara terperinci jumlah kebakaran rumah panjang di seluruh negeri kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media isu kebakaran rumah panjang di Bilik Seminar, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, di sini semalam.

Katanya, bermula 2015 hingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 120 kebakaran yang berlaku di seluruh negeri melibatkan rumah panjang.

“Daripada jumlah tersebut, Kuching mencatat sifar kebakaran, Kota Samarahan (lima), Sri Aman (26), Sibu (38) tidak termasuk kebakaran yang berlaku baru-baru ini, Bintulu (23), Miri (22) dan Limbang (enam).

“Daripada 38 kebakaran di Sibu, lima kebakaran berlaku pada 2015, 2016 (lapan), 2017 (sembilan), 2018 (enam), 2019 (lapan) manakala bagi 2020 dua kebakaran tidak termasuk satu kebakaran terbaharu,” jelasnya.

Menurutnya, namun ada pihak yang salah anggap mengenai jumlah kebakaran di Sibu dan mentafsirnya berlaku tahun ini.

“Hari ini (semalam) kita akan memberi penjelasan mengenai kebakaran tersebut. Ia agak membimbangkan kerana maklumat kurang tepat akan menggusarkan rakyat,” katanya lagi.

Jelasnya, Sibu menunjukkan kes kebakaran cukup tinggi disebabkan taburan rumah panjang dan lokaliti rumah panjang yang kebanyakannya berada di tepi sungai.

“Begitu juga dengan Sri Aman dan kebolehcapaian bomba ke kawasan berkenaan masih menjadi isu.

“Kita akan cuba melakukan yang terbaik dan tindakan perlu dilaksanakan untuk menangani masalah ini,” tegasnya.