KUCHING: Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang kecewa dengan taktik Dap Sarawak yang sengaja merosakkan papan tanda jalan di sekitar Kuching dengan melekatkan tulisan bahasa Mandarin.

Menurutnya, isu itu mencetuskan respons negatif rakyat dan sepatutnya tidak berlaku di Sarawak yang dicontohi negeri lain sebagai negeri perpaduan.

“Kami tidak memerlukan permainan politik seperti ini. DAP boleh melakukan apa-apa sahaja di Semenanjung Malaysia tetapi jangan bawa budaya toksik ke negeri ini.

“Sebagai sebuah negeri berbilang kaum, kita harus mengekalkan contoh yang baik untuk ditunjukkan kepada rakyat Malaysia. “Malah kita juga ada keharmonian yang unik, tidak perlu merosakkannya,” katanya di sini kelmarin.

Tambah Khere Chiang, rakyat negeri ini hidup bersama-sama sebagai sebuah keluarga tanpa perlu prejudis dengan bangsa lain.

Jelasnya, menggunakan isu tersebut untuk meraih undi dalam politik merupakan tindakan tidak bijak kerana terdapat tanda jalan menggunakan tulisan Mandarin di Sibu, Miri dan bandar lain.

“Malah Padawan juga memiliki papan tanda sedemikian, tiada isu. Ada baiknya juga ada tulisan Mandarin kerana pengunjung dari China memiliki potensi pasaran besar di Sarawak.

“Tetapi ini bukan caranya kerana majlis perbandaran prihatin dengan tuntutan masyarakat.

“Gunakan saluran yang betul. Bukan mengambil kesempatan untuk tujuan politik. Perbuatan ini yang kurang bijak,” katanya