KUCHING: Masalah bekalan air merupakan isu amat sensitif dan boleh menjadi modal politik terutamanya menjelang pilihan raya, kata Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom.

Menurutnya, parti politik terutamanya blok pembangkang yang berusaha untuk mencari isu memburukkan kerajaan sedia ada.

“Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak di bawah GPS sentiasa kembali kepada janji manifesto yang dibuat pada Pilihan Raya Negeri 2016 apabila mengutamakan rakyat.

“Kita berjanji dan tunaikannya kepada rakyat dengan manifesto yang realistik,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Utiliti di sini semalam.

Tegas Rundi, GPS berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) apabila membuat banyak janji tetapi akhirnya tidak dapat ditunaikan menyebabkan parti itu kecundang selepas 22 bulan memerintah.

“Sebab itu, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM4 bilion bagi menjayakan usaha membekalkan air bersih dan terawat ke seluruh negeri menjelang 2022.

“Kerajaan Sarawak mempunyai pelan induk membekalkan air ke kawasan selatan, tengah dan utara yang turut dibentangkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB itu.

Katanya lagi, KPLB memberi tindak balas yang positif terhadap pelan induk terbabit apabila ia dirancang ke arah terma perniagaan seperti Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Segala yang kita rancang sekarang akan memberi manfaat besar kepada Sarawak pada masa akan datang terutamanya bagi pemain industri selain mengimport bekalan elektrik.

“Ini kerana, tiga keperluan asas iaitu air, elektrik dan telekomunikasi amat penting yang menjamin kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Dalam majlis terbabit, seramai lapan kakitangan Kementerian Utiliti menerima APC masing-masing atas perkhidmatan cemerlang mereka.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Datuk Alice Jawan, Pengarah Bekalan Air Cho Kwong Ming serta Pengarah Bekalan Elektrik Syed Mohamad Fauzi Shahab.