BAU: Satu kebakaran besar disyaki berpunca daripada perbuatan individu khianat menyebabkan inap desa di Kampung Daun Singgai musnah 100 peratus, hari ini.

Pemilik premis penginapan yang tidak didedahkan nama berkata insiden terbabit dipercayai berlaku awal pagi dan membuat laporan kepada pihak bomba sekitar jam 2.50 petang.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan pihaknya ada menerima maklum kes itu sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Bau ke lokasi kejadian.

Dedahnya, hasil maklumat awal yang diperolehi daripada pemilik penginapan memberitahu bahawa bangunan itu baru sahaja siap namun belum dibuka untuk beroperasi kepada pelanggan.

“Pasukan bomba hadir hanya membuat pemantauan di lokasi bagi mengumpul maklumat daripada saksi berhubung kejadian.

“Komander operasi turut mengesahkan kebakaran telah menyebabkan bangunan yang berstruktur separuh kekal itu musnah 100 peratus,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukan penyiasatan bomba Zon Kuching telah dipanggil bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kebakaran turut tidak melibatkan kemalangan jiwa dilaporkan.

Ujarnya, operasi bagaimanapun ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.38 petang.

PANTAU… KEBAKARAN MENYEBABKAN RUMAH PENGINAPAN KAMPUNG DAUN SINGGAI HANCUR SECARA KESELURUHAN