KUCHING: Hobinya menyediakan kudapan seperti bawang putih dan bawang merah goreng, serunding halia dan ikan bilis buat anakanak di rumah akhirnya membuahkan hasil lumayan apabila jenama Aunty Ros tembusi pasaran Australia.

Ibu yang selalu meletakkan selera anak-anak sebagai pendorongnya memasak, Rosmi Mos akhirnya berjaya mengangkat jenama Aunty Ros.

“Saya mulanya hanya membuat makanan atau kudapan untuk anak-anak di rumah. “Ia selalu habis dimakan kerana tekstur yang rangup dan sedap hingga tercetus idea untuk menjualnya,” kata Rosmi kepada Suara Sarawak kelmarin.

Malah bekalan tambahan yang dibuat olehnya itu mendapat pujian ahli keluarganya dan Rosmi berani untuk menjual kepada orang luar.

“Untuk langkah awal, saya meninjau pasar raya yang berdekatan dan mendapati belum ada lagi produk sebegini dihasilkan oleh orang Muslim. “Jadi, saya memberanikan diri menghantar 30 balang produk Aunty Ros di Medan Niaga Satok sebagai percubaan.

“Sejak itu, beberapa tempahan saya terima seperti dari Semenanjung Malaysia dan seluruh Sarawak,” katanya. Rosmi memberitahu, beberapa ahli perniagaan dari Miri dan Bintulu menawarkan diri untuk menjadi ejen.

“Saya juga menerima tempahan membuat serunding halia untuk dibawa ke Australia terutamanya bagi yang bersalin di sana,” ujarnya.

Beliau memberitahu, perniagaan yang diusahakan sejak dua tahun lalu turut dibantu oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

“Fama banyak membantu saya dari segi pembungkusan dan pemasaran. “Mereka mempelawa saya menghadiri kursus berkaitan dan membimbing saya mengikuti ekspo yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta.

“Banyak perancangan saya selepas ini seperti membuat produk baharu seperti sagon asli, sagon coklat, sagon strawberi dan menghasilkan sambal bilis petai.

“Saya harap perniagaan ini bertambah maju dan pergi lebih jauh,” katanya. Rosmi salah seorang perserta Agro Bazar Online (ABO) yang dianjurkan oleh Fama dan produk yang dihasilkannya juga boleh didapati di kedai ABO.