KUCHING: Pendekatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melalui penubuhan barisan hadapan di rumah panjang sangat penting bagi menangani kebakaran pada peringkat awal.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata, langkah ini untuk menangani kebakaran di kawasan yang tidak mempunyai balai bomba dan sukar dicapai.

“Kita tidak terus membina balai bomba serta-merta sekiranya berlaku kebakaran di kawasan tersebut kerana kita perlu mengambil kira kriteria tertentu.

“Oleh sebab itu, langkah ini merupakan tindakan awal yang perlu dilakukan oleh bomba,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media isu kebakaran rumah panjang di Bilik Seminar, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat di sini semalam.

Sementara itu katanya, mana-mana kawasan rumah panjang yang tiada liputan dan sukar dicapai, pasukan bomba sukarela akan ditubuh dalam lingkungan tujuh kilometer dari radius kawasan.

“Setakat ini, 47 pasukan bomba sukarela di seluruh negeri, 54 Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (Cert) dan 847 bomba komuniti,” jelasnya.

Tambahnya, mereka akan dibekalkan dengan peralatan mencegah kebakaran serta diajar cara menggunakan peralatan tersebut melalui program kebombaan dan komuniti.

Sehubungan itu, bomba bercadang menubuhkan balai bomba kategori E di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan kos satu balai mencecah RM500,000.

“Cadangan membina lebih banyak balai bomba ini bagi mencapai masa perjalanan 15 minit jika berlaku kebakaran,” ujarnya.