KUCHING: Ummah Rabbani Negara Harmoni, tema sambutan Maal Hijrah 1442 Hijrah menjelaskan pentingnya Islam bersatu mencapai matlamat membentuk sebuah negara Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur – yakni menjamin rakyat selamat dan terpelihara daripada kesulitan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, hijrah tidak bermaksud berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.

“Hijrah juga bermaksud menghijrahkan umat lemah kepada kuat, yang tertindas kepada yang bergerak cergas, melarat kepada berdaulat dan dakwah dalam lingkungan yang terbatas kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu Abang Johari berkata, titik permulaan hijrah dan pembinaan negara menjadi tanda aras kebangkitan Islam yang seterusnya tersebar ke seluruh dunia.

“Kedua-dua perkara tersebut saling berkait rapat antara satu sama lain.

“Peristiwa hijrah merakam usaha membina sebuah negara seperti pembinaan negara Madinah yang tidak dilakukan secara kekerasan dan penaklukan,” jelasnya.

Tambahnya, pada tahun 622 bersamaan Tahun 1 Hijrah, Piagam Madinah digubal yang mengiktiraf semua hak penduduk Madinah, menggalakkan persaudaraan dan kerjasama antara semua kaum serta memberi kebebasan untuk beragama.

Justeru kata Abang Johari, keadaan pada masa tersebut tidak jauh berbeza dengan keadaan sekarang.

“Ini kerana pelbagai kaum dan agama di Sarawak menuntut untuk bersikap adil kepada semua pihak dan menghormati hak semua kaum,” katanya.