KUCHING: Tujuh sekeluarga menghadapi detik cemas setelah bumbung kediaman mereka di Kampung Ajibah Abol tercabut lalu diterbangkan angin kencang, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian hujan ribut yang berlaku pada jam 5.42 petang itu menyebabkan bahagian atas rumah terbabit mengalami kerosakan.

Dedahnya, dua rumah berhampiran kejadian turut mengalami kerosakan akibat dihempap oleh bumbung yang diterbangkan ribut berkenaan.

“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Padungan telah dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat di lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, komander operasi melaporkan tiga buah rumah terjejas di mana bumbung kediaman rumah utama telah menghempap dua lagi rumah di kawasan berhampiran.

“Turut disahkan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, operasi mengalihkan bumbung itu ke tempat selamat selesai sepenuhnya pada jam 8.35 malam.

TERCABUT… Bumbung rumah yang didiami tujuh sekeluarga terbang seterusnya menghempap dua buah lagi kediaman berhampiran kejadian