KUCHING: Semua corak kehidupan manusia berubah secara mendadak berikutan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia merangkumi perubahan sosial, ekonomi, hubungan luar dan dalam negara, budaya dan sebagainya.

“Sehingga kini, banyak kematian di seluruh dunia disebabkan Covid-19 termasuk di negara maju yang mempunyai kemudahan kesihatan dan saringan canggih.

“Ini menunjukkan bahawa wabak ini menyerang manusia tanpa memilih bangsa, status ekonomi dan rupa kulit,” katanya pada Majlis Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah 2020, Peringkat Negeri Sarawak di Masjid al-Abyad, pada Selasa.

Abang Johari berkata, di Malaysia pelbagai usaha dilakukan oleh pasukan barisan hadapan untuk memerangi wabak ini daripada terus menular.

“Mereka tidak jemu untuk memastikan proses saringan dilakukan pada setiap masa,” tambahnya.

Pada masa sama jelasnya, kerajaan juga melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi beberapa fasa bagi mengehadkan pergerakan rakyat sekali gus menyekat rantaian Covid-19.

“Sehubungan itu, melalui langkah yang dilakukan ini, kita berjaya mengekang pandemik Covid-19 ini.

“Justeru, sebagai orang Islam, kita perlu mengambil iktibar daripada perkara yang berlaku.

“Dalam kata lain, bagi orang yang beriman, setiap apa-apa yang berlaku dalam kehidupan sarat dengan hikmah dan pengajaran,” katanya lagi.