MUKAH: Teba Tuanku antara khazanah penting di Kampung Tellian Tengah, yang mempunyai cerita sendiri yang harus dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.

Ketua Kaum Kampung Tellian Bonaventure Juana Lupieh berkata, khazanah itu dipercayai dibina di kampung berkenaan pada zaman pemerintahan Brunei.

“Berdasarkan cerita, ketika itu Tuanku itu yang dikatakan berasal dari Brunei telah datang ke sebuah tapak tanah di Kampung Tellian.

Kebetulan ketika itu, apa-apa penyakit sukar diubati.

“Seterusnya penduduk kampung mula menggali telaga (teba dalam bahasa Melanau) dan kemudian meminta Tuanku tadi memberkati.

“Diceritakan juga penduduk kampung menggunakan air dari telaga untuk berubat. Ini kerana air itu dipercayai dapat menyembuhkan banyak penyakit,” katanya.

Bonaventure berkongsi kisah itu pada program gotong-royong membersih dan membina semula tapak Teba Tuanku di Kampung Tellian, baru-baru ini.

Menurutnya, gotong-royong itu melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat Mukah,Belia Parlimen Mukah, penduduk Kampung Tellian Tengah dan Tellian Ulu.

Bonaventure berkata, program itu membuktikan penduduk mencintai warisan, sejarah dan khazanah lama di Mukah.

“Kami pulihara dan pelihara khazanah dan warisan bangsa bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan usaha dan tenaga.

“Kami kekalkan keaslian Teba Tuanku. Sesiapa yang ingin melihat telaga ini, boleh bertandang ke Kampung Tellian Tengah, Mukah,” katanya.