KUCHING: Lantikan warga Sarawak sebagai Ahli Lembaga Petronas merupakan langkah penting untuk meneruskan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) agar dapat melindungi kepentingan negeri ini.

Presiden Supp Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, lantikan pertama sebagai Ahli Lembaga Petronas ialah Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani pada 2016 dan kini, tokoh korporat Datuk Haji Ibrahim Baki dilantik antara tiga Ahli Lembaga Pengarah Petroliam Nasional Berhad yang baharu berkuat kuasa 17 Ogos lalu.

“Lantikan ini sungguh bermakna bagi melindungi hak hasil minyak dan gas yang digali di negeri ini,” katanya semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menghormati rakyat dan hak Sarawak.

“Sudah semestinya pelantikan warga Sarawak sebagai permulaan yang baik untuk menjaga kepentingan negeri ini,” katanya.

Ibrahim merupakan ahli perniagaan yang disegani dan pengamal undang-undang dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang korporat.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di United Kingdom dan tamat Barrister-at-Law di Lincoln Inn London sebelum memulakan kerjayanya pada 1984 sebagai Pegawai Undang-Undang Petronas di Kuala Lumpur.

Pada 1985, beliau menjadi rakan pengasas dalam Merrsr Idris Buang, Ibrahim Baki dan Co, Advocates dan Solicitors Sarawak.

Sejak 1991, Ibrahim terlibat dalam perniagaan pembangunan hartanah, logistik dan perkhidmatan pengurusan.