KUCHING: Sekarang bukan masa untuk berpolitik, tegas Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, ketika ini pemimpin perlu memberikan fokus mentadbir dan mengurus negara dengan baik.

“Kepada mana-mana pihak yang hendak berpolitik colop dolok (berhenti terlebih dahulu) kerana sekarang masa untuk bekerja.

“Masa ini juga kita gunakan untuk memikirkan bagaimana cara untuk menangani krisis yang berlaku di Malaysia seperti krisis ekonomi, kesihatan dan kehidupan.

Ia lebih penting dan diperlukan oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Merdeka @ Komuniti 2020 di Lorong Piala 3, Taman Sukma, Petra Jaya di sini semalam.

Menteri Kerja Raya itu juga menjelaskan, negara juga fokus untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis dan disebabkan itu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat.

“Jadi kita perlu menjalinkan kerjasama dan bersatu dalam tindakan supaya perkara yang berat akan menjadi lebih ringan.

“Masyarakat juga perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mengingatkan rakyat Sarawak supaya menerapkan kelaziman baharu dalam kehidupan.

“Pertama, saya percaya rakyat Sarawak perlu berfikiran terbuka dalam menyesuaikan gaya kehidupan baharu.

“Kedua, disebabkan interaksi fizikal sekarang terbatas, mereka perlu menerapkan nilai digitalisasi serta membiasakan diri dengan teknologi.

“Yang penting ialah kita perlu memupuk semangat kerja berpasukan dan perpaduan untuk membangunkan masyarakat di negeri ini,” katanya pada majlis tersebut.

Dalam hal berkaitan, beliau menasihati orang ramai agar menyokong apa-apa sahaja perkara baik yang dilakukan.

“Selain itu, jika terdapat kekurangan kita mesti memperbaiki. Inilah cara kita bekerja, selagi kita terus bersatu, kita akan dapat membangunkan negeri ini,” tambahnya.

Program itu juga menyaksikan Fadillah menyempurnakan simbolik menanam pokok.