KUCHING: Orang ramai diminta tampil secara berterusan untuk menderma darah bagi memastikan stok bekalan darah di Hospital Umum Sarawak (HUS) sentiasa mencukupi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim KuHian berkata, HUS memerlukan sekitar 70 beg darah setiap hari untuk kegunaan pesakit.

“Setakat ini stok bekalan darah masih mencukupi walaupun pandemik Covid-19 masih ada di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program derma darah di Lobi LD Legenda, Kozi Square, semalam.

Menurutnya, penderma darah tidak akan kehabisan darah selepas menderma darah.

“Kita tidak akan kehabisan darah dalam diri kita kerana selepas 14 hari, darah tersebut akan ada semula,” jelasnya.

Dalam pada itu jelasnya, kos pembiayaan rawatan terhadap penderma darah adalah percuma kerana dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.

Sehubungan itu tambahnya, darah yang diderma itu mampu menyelamatkan nyawa pesakit semasa pembedahan, kemalangan dan sebagainya.

“Apa-apa sahaja yang anda sumbangkan, ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang,” katanya lagi.