LIMBANG: Pemasangan bendera secara terbalik merupakan perbuatan pengkhianat yang tidak cinta akan kemerdekaan negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata, perbuatan itu juga merupakan provokasi yang akan memberi kesan negatif kepada masyarakat merdeka.

Menurutnya, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap individu terlibat.

“Ini satu pengkhianatan yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Kenakan tindakan undang-undang yang berat kepada pelaku sebagai pengajaran kepada yang lain,” katanya semasa merasmikan Merdeka Komuniti 2020, di dewan Kampung Bunga Raya,” kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang atau asal usul berganding bahu dan bekerjasama memerangi musuh ketika negara diancam Covid-19.

Ujarnya, tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin – sesuai dengan aspirasi yang didukung kerajaan hari ini.

“Ini menjadi petanda baik yang membuktikan rakyat Malaysia boleh bersatu sama ada pada waktu susah dan senang.

“Malaysia Prihatin perlu kita sematkan dalam ingatan untuk mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelasnya lagi.

Tambahnya, adanya program seperti semalam, ia akan menjadi platform untuk menghayati erti kemerdekaan serta penderitaan yang dialami oleh masyarakat dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan.

“Sungguh besar perjuangan mereka yang sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk mencapai kemerdekaan.

“Perasaan cinta akan negara ini boleh menjadi pengikat utama perpaduan rakyat kita,” jelasnya.