SARIKEI: Peruntukan terus disalurkan untuk menaik taraf prasarana sekolah di kawasan DUN Repok sebagai sokongan kepada institusi pendidikan dalam usaha melahirkan lebih ramai insan cemerlang.

ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha itu amat penting bagi memastikan prasarana dan kemudahan yang diperlukan oleh sekolah di kawasannya sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

Perkara itu katanya, amat penting bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan generasi muda Repok pada masa depan.

“Saya sedar memang ada cabarannya namun, saya memberi jaminan akan terus komited membantu tingkatkan prasarana pendidikan di seluruh DUN Repok selagi saya masih bergelar wakil rakyat di kawasan ini,” katanya selepas meninjau perkembangan projek RTP di kawasan Repok, semalam.

Antara inisiatif Huang termasuklah menyalurkan RTP keseluruhan berjumlah RM302,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Chien, Bayong sejak empat tahun lalu.

Pada masa yang sama, SJKC Bulat menerima sebanyak RM159,000 masing-masing daripada RTP 2017 dan 2020.

Beliau juga tidak lupa untuk menyalurkan peruntukan RM53,000 di bawah projek RTP 2020 kepada SJKC Nam Kiew bagi tujuan yang sama.

Sebelum ini, SJKC Nam Kiew menerima peruntukan sebanyak RM66,780 di bawah projek RTP 2017 dan RM50,000 ( RTP 2019)

Melalui RTP 2020 pula, wakil rakyat itu memperuntukkan sebanyak RM53,000 untuk menaik taraf prasarana SJKC Sing Ming.

Selain itu, SJKC Sing Ming juga menerima peruntukan RM201,400 di bawah projek RTP 2017 bagi membina gelanggang berbumbung untuk kegunaan warga sekolah berkenaan.

Sementara itu, SJKC Su Dok juga tidak diabaikan apabila peruntukan sebanyak RM30,000 (RTP 2020), RM30,000 (RTP 2019) dan RM95,400 ( RTP 2017) kepada SJKC Su Dok.