KUCHING: Tujuh individu warganegara asing bersama 16 lagi warga tempatan ditahan polis akibat didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal di tempat awam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata kesemua individu terbabit telah ditahan hasil pemeriksaan pasukan Balai Polis Sentral dan Unit peronda polis (MPV) di kawasan Tebingan Sungai Kuching dan premis hiburan di Jalan Song.

Dedahnya, kesemua suspek yang terdiri daripada 13 lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 18 hingga 26 tahun.

“Hasil pemeriksaan pasukan mendapati seramai 13 individu di tempat awam dan tiga pelanggan di sebuah premis hiburan dikesan melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan(PKPP), iaitu gagal mengamalkan prosuder operasi standard(SOP) penjarakan fizikal sepertimana yang telah diwartakan oleh kerajaan.

“Pemeriksaan di tempat awam turut menahan serta membuka kertas siasatan terhadap tujuh warganegara asing atas kesalahan sama,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, kesemua individu yang telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching manakala ketujuh-tujuh warganegara asing telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tegasnya, kesemua 16 individu terbabit dikenakan notis kompaun RM1,000 serta-merta dan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari.

Sementara itu, katanya, kes ketujuh-tujuh warga asing pula akan dirujuk terhadap kertas siasatan yang dibuka kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak untuk mendapatkan arahan pendakwaan di Mahkamah.

Beliau dalam pada itu turut memberitahu biarpun amaran berulang kali diberikan oleh pihak polis namun masyarakat awam masih gagal mematuhinya dan bersikap sambil lewa dengan arahan memaruhi SOP yang telah diberikan.