KUCHING: Pasukan petugas ditubuh untuk membantu usahawan wanita Sarawak bagi urusan pendaftaran perniagaan dan lesen perdagangan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara itu penting untuk memastikan wanita dapat memohon bantuan kerajaan pada masa akan datang.

“Bagi mengatasi masalah perniagaan yang terjejas sepanjang tempoh PKP akibat Covid-19, Kerajaan Persekutuan menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) Prihatin PKS+ memberikan geran khas yang berjumlah RM3,000 kepada setiap pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

”Manakala Kerajaan Sarawak menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2.0 memberikan dana RM1,500 kepada 65,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagaimanapun, masih banyak usahawan wanita Sarawak yang terjejas tidak layak untuk memohon bantuan kerana tidak memenuhi kriteria utama permohonan seperti memiliki lesen atau permit perniagaan,” jelasnya.

Fatimah berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penangguhan Program Pelesenan Usahawan Wanita Sarawak di Stadium Perpaduan Dalat, kelmarin.

Tambahnya, pasukan petugas melibatkan pelbagai agensi dan memainkan peranan masing-masing termasuk turun padang ke kawasan terjejas untuk membantu usahawan wanita.

“Peranan pasukan petugas merangkumi rundingan pendaftaran bagi mendapatkan lesen perniagaan serta mengemas kini pangkalan data bagi pengusaha wanita,” ujarnya.

Agensi terlibat ialah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal  Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Lembaga Multimedia Sarawak; Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.

Selain itu, pasukan itu melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Centexs, PBT dan Pejabat Daerah.